Ulang Tahun ke-79: UMNO Terus Jadi Benteng Kekuatan Bangsa Melayu, Umat Islam – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 7 Mei – UMNO akan terus menjadi benteng kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini kerana ia adalah sebuah perjuangan yang telah dibawa sejak ditubuhkan pada tahun 1946.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, pelbagai cabaran yang telah dilalui oleh UMNO dalam mencapai usia lapan dekad dan parti ini masih berdiri teguh sebagai pelindung hak serta kedaulatan bangsa.
“Usia UMNO sudah hampir mencapai lapan dekad… ia bukanlah satu perjalanan mudah bahkan penuh liku-liku, pengorbanan, cabaran dan keazaman yang tidak pernah padam.
“Sejarah perjuangan UMNO dipenuhi dengan kisah susah dan senang. Ini telah mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan dan semangat juang yang kental, dari zaman getir ketika tanah air masih dalam genggaman penjajah… sehingga ke zaman kemerdekaan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. UMNO terus berdiri teguh sebagai pelindung hak dan kedaulatan bangsa.
“Kita tidak boleh lupa, bagaimana UMNO dan seluruh rakyat Malaysia melalui zaman susah, berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi, politik, dan sosial. Tetapi, berkat keteguhan hati dan semangat perjuangan, kita bangkit bersama-sama membina negara yang aman, makmur serta sejahtera. Perjuangan UMNO tidak pernah sunyi dari ujian, tetapi kita sentiasa bangkit dan terus melangkah ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, UMNO telah berikrar untuk meneruskan segala perjuangan yang dibawa kerana ia berlandaskan kepada anak bangsa, kelangsungan agama dan tanah air tercinta meskipun kini tidak mengetuai kerajaan secara total.
“Hari ini, walaupun UMNO bukan lagi mengetuai kerajaan, namun kita berikrar untuk terus meneruskan perjuangan. UMNO adalah perjuangan anak bangsa untuk memastikan kelangsungan agama dan tanah air tercinta ini.
“Marilah kita memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa dengan doa, usaha dan keikhlasan, UMNO akan terus menjadi benteng kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara bertuah ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi untuk terus bersatu hati bagi meneruskan perjuangan parti serta bangkit semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Harapan saya, semoga semangat perjuangan ini akan terus menyala dalam setiap hati, mengimbau kisah-kisah lama yang penuh pengorbanan dan menjadi inspirasi untuk kita meneruskan usaha memperjuangkan hak, keadilan serta keamanan negara tercinta ini.
“Akhir kata, mari kita terus bersatu, berjuang dan berbakti demi masa depan agama, bangsa serta negara. Sejarah pahit manis yang pernah dilalui harus menjadi pengajaran dan semangat untuk kita terus menongkah arus demi kebangkitan serta kemenangan semula UMNO pada PRU akan datang.
“Selamat ulang tahun ke-79… UMNO dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO akan mencapai usia yang ke-79 pada 11 Mei ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946, hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat, tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.
Sejak tertubuhnya UMNO, tujuan dan matlamatnya masih sama iaitu sentiasa berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama serta negara. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman