Solat Jumaat Bersama Makhluk Halus, UMNO Kedah Gesa Tauliah Penceramah Ditarik Balik

KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO Negeri Kedah menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk menarik balik tauliah mengajar dan berceramah agama diberikan kepada pendakwah yang mendakwa beliau bersolat Jumaat bersama makhluk halus.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menerusi satu kenyataan berkata, perkara tersebut membimbangkan dan membuka ruang kepada budaya taksub, pengagungan individu dan sebagainya.

“UMNO Negeri Kedah memandang serius tindakan seorang pendakwah terkenal yang sekali lagi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dengan dakwaan solat Jumaat bersama makhluk halus.

“Ia merupakan kali kedua individu sama terpalit dengan isu kontroversi yang menyentuh soal akidah dan kewarasan dalam beragama.

“Insiden seumpama ini mencemarkan kesucian Islam dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada budaya taksub, pengagungan individu, dan penyebaran ajaran yang tidak bersandarkan kepada nas dan disiplin ilmu yang sahih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa JHEAIK untuk memperketatkan proses tapisan dan pemantauan terhadap semua penceramah bertauliah di negeri tersebut.

“Sehubungan itu, UMNO Kedah mendesak agar tauliah mengajar dan berceramah agama yang diberikan kepada pendakwah ini ditarik balik serta-merta. Tidak boleh ada kompromi apabila perkara melibatkan akidah umat dipermainkan dan diperalatkan untuk pengaruh peribadi.

“UMNO Kedah juga menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) agar
memperketatkan proses tapisan dan pemantauan terhadap semua penceramah bertauliah di negeri ini.

“Hanya mereka yang benar-benar berilmu, waras dan amanah dalam menyampaikan dakwah harus diberi ruang untuk mendidik masyarakat. Islam tidak perlukan cerita-cerita karut. Islam perlukan ilmu,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal mendakwa solat Jumaat bersama bunian yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan umat Islam.

Pada Khamis, JHEAIK memaklumkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan memanggil individu terbabit untuk mendapatkan penjelasan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit