‘PPBM Jangan Main Politik Heret Pihak Istana’ – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi amaran kepada PPBM untuk tidak mengheret pihak Istana bagi menghalalkan keinginan mereka bekerjasama dengan UMNO.

Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah memberi nasihat agar Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 namun ia ditolak mentah-mentah.

“Tidak ada sesiapa membantah saranan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa Raja-Raja Melayu boleh memainkan peranan menyatukan parti orang Melayu supaya lebih dominan.

“Masalahnya, kenapa apabila Agong ke-16 memberi nasihat agar parti-parti politik menyertai Kerajaan Perpaduan, PN khususnya PPBM menolak mentah-mentah? Walhal ia membantu politik Melayu dominan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, perkara itu menunjukkan bahawa keikhlasan PPBM membentuk kerjasama diragui kerana mereka bimbang parti tersebut tidak lagi relevan pada masa akan datang.

“Kenapa sekarang baru mahu mengheret Istana? Sebab itu keikhlasan PPBM diragui. Sebenarnya PPBM tersepit. Parti itu bimbang lambat laun ia tidak lagi relevan, apa lagi jika ditinggalkan oleh Pas.

“PPBM tahu, UMNO tidak berminat untuk bergabung dengan parti itu. Justeru PPBM jangan main politik dengan mengheret pihak Istana. PPBM tidak layak bercakap pasal penyatuan. Ia serpihan UMNO,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan, Hamzah berkata, raja Melayu boleh memainkan peranan menyatukan parti Melayu untuk menjadikan kaum itu lebih dominan dalam pentadbiran negara.

Ujarnya, sejarah membuktikan kemampuan institusi diraja menggabungkan masyarakat Melayu dari negeri berlainan dalam menentang cubaan penjajahan mutlak British menerusi Malayan Union, 80 tahun lalu.

Katanya lagi, sifat feudalisme orang Melayu dengan mengangkat seorang raja yang bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh dipercayainya turut menjadikan peranan raja-raja lebih besar dalam penyatuan ummah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit