Iltizam Kerajaan Hadapi Tarif AS, Terus Pertahan Kepentingan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan langkah proaktif kerajaan MADANI melalui penubuhan National Geo-Economic Coordination Centre (NGCC) jelas memperlihatkan komitmen untuk mempertahankan kepentingan negara, sekali gus memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di mata dunia.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata ini kerana ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung pada sektor elektrik dan elektronik (E&E), kelapa sawit, getah, dan pertanian, dengan Amerika Syarikat (AS) antara pasaran utama negara.

“Justeru, saya yakin usaha Kerajaan ini bukan sahaja berunding mengurangkan tarif, tetapi juga membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir, Pakistan dan Kemboja amat penting bagi melindungi pendapatan dan kelangsungan hidup merek yang terkesan.

“Saya juga bersyukur atas tindakan pantas kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk naik taraf sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan, serta had sebut harga dinaikkan RM1 juta ke RM3 juta.

“Ini secara langsung akan memperlihatkan pembinaan sekolah, klinik, jalan, dan tebatan banjir dapat dipercepat serta membuka lebih banyak peluang kerja untuk kontraktor kecil dan pekerja di kawasan luar bandar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata dalam sektor pembangunan halal, Malaysia terus diyakini menerajui industri Halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya sekaligus mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

Namun katanya kelembapan ekonomi global akibat dasar tarif ini dijangka menjejaskan permintaan antarabangsa terhadap pelbagai produk eksport, termasuk barangan halal, sekali gus memberi tekanan kepada penggiat industri tempatan.

“Justeru, usaha mempergiat meneroka pasaran baharu, khususnya di GCC dan Asia Selatan, melalui padanan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa akan memangkin pertumbuhan eksport, membuka peluang baharu untuk usahawan tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab Halal global.

“KKDW bersama MATRADE dan HDC akan memastikan usahawan halal, khususnya di desa, akan terus menembusi pasaran global. Insya-Allah, RM50 juta telah diperuntukkan kepada MATRADE untuk mempercepat usaha ini dan membuka akses ke pasaran antarabangsa yang lebih luas,” ujar beliau.

Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, beriltizam untuk memperkukuh institusi-institusi TVET negara agar dapat membina lebih banyak kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, dan pendigitalan.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan lebih ramai belia desa mendapat akses kepada latihan TVET yang relevan dan berkualiti, seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang akan memacu ekonomi masa hadapan,” ujar beliau – UMNO Online
Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit