Mohd Jafni Bentang Prestasi Portfolionya Kepada MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei – Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor bersyukur pagi tadi telah membentangkan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Suku Pertama (Q1) 2025 kepada Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu, pembentangan itu merupakan penzahiran komitmen berterusannya dan seluruh pasukan untuk menyampaikan hasil kerja yang berimpak tinggi dan sejajar dengan aspirasi Maju Johor.

“Sepanjang Q1 2025, sebanyak 39 inisiatif strategik telah digerakkan merangkumi pembangunan perumahan, pengurusan bandar, penyelenggaraan infrastruktur, penarafan bandar pintar serta pelaksanaan sistem berasaskan teknologi pintar,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook rasminya.

Jelas Mohd Jafni, bagi sektor perumahan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah melaksanakan 13 inisiatif utama bernilai RM216.98 juta, termasuk pembinaan dan pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ), Rumah Kasih Johor (RKJ), dan baik pulih rumah daif.

“Setakat Mac 2025, sejumlah 2,071 unit RMMJ telah berjaya disiapkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21,085 unit, iaitu 70% daripada sasaran 30,000 unit menjelang 2026.

“Antara projek utama RMMJ yang sedang dalam pelaksanaan ialah RsBJ Renggam, Pontian dan Sri Menanti, melibatkan 769 unit rumah dengan kos RM148.9 juta.

“Projek RTBJ yang menyasarkan golongan belia dan keluarga muda telah bermula di Iskandar Puteri, Kota Tinggi, Kluang dan Kulai, merangkumi 669 unit bernilai hampir RM40 juta,” kata Mohd Jafni.

Sementara itu tambah Ketua UMNO Bahagian Kulai itu lagi, program RKJ melibatkan 410 unit rumah kasih dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Waqaf An-Nur, memberi tumpuan kepada keluarga miskin bandar.

“Inisiatif baik pulih rumah daif telah memanfaatkan 680 keluarga di seluruh negeri, dengan jumlah peruntukan RM12.45 juta.

“Dalam usaha memperluaskan keterangkuman, kita turut memperkenalkan Program Rumah Prihatin Johor (RPJ) berharga RM86,000 seunit — rakyat hanya perlu membayar RM56,000 selepas subsidi Kerajaan Negeri.

“Projek Perumahan Inklusif Madani (PIM) di UDA Utama yang diluluskan bernilai RM125 juta, dijangka memberi manfaat kepada B40, M40, OKU dan warga emas,” katanya.

Begitu juga tambahnya, dalam aspek penyelenggaraan perumahan awam, sebanyak 64 kerja baik pulih melibatkan 12 PPR dan tujuh RSK sedang dilaksanakan dengan kos RM39.15 juta.

“Pengurusan fasiliti RSK turut diperkasa dengan pelantikan ejen fasiliti bagi tiga skim utama (RSK Larkin, RSK Cendana dan RSK Kluang), merangkumi 3,020 unit kediaman.

“Sebanyak 4,479 unit flat awam di Johor Bahru turut terlibat dalam program rejuvenasi dengan nilai RM10 juta, termasuk Pangsapuri EDL dan RP Penggaram,” katanya.

Manakala dari sudut promosi hartanah, Mohd Jafni berkata akan dilaksanakan Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang menghimpunkan 50 pemaju dan sepuluh bank serta menawarkan 2,000 unit RMMJ kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor sebanyak 152 projek pembangunan sedang dan bakal dilaksanakan di bawah 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), membabitkan nilai keseluruhan RM325.4 juta.

“Daripada jumlah ini, 32 projek telah siap, 104 projek sedang berjalan, manakala 16 projek dalam peringkat awal pelaksanaan.

“Antara komponen utama termasuk pengindahan bandar, pengurusan banjir, pembangunan sistem bandar selamat, pelancongan, taman awam, jalan raya, dan Smart City,” katanya.

Mohd Jafni juga menyenaraikan rumusan jumlah projek PBT seperti berikut:
i. Majlis Bandaraya Johor Bahru: 30 projek bernilai RM166.47 juta.
ii. Majlis Bandaraya Iskandar Puteri: 18 projek (RM70.77 juta).
iii. Majlis Bandaraya Pasir Gudang: 8 projek (RM16.99 juta).
iv. Majlis Perbandaran Kulai: 19 projek (RM14.81 juta).
v. Majlis Perbandaran Batu Pahat: 13 projek (RM8.26 juta).
vi. Majlis Perbandaran Muar: 6 projek (RM6.96 juta).
vii. Majlis Perbandaran Kluang: 10 projek (RM5.10 juta).
viii. Majlis Perbandaran Segamat: 8 projek (RM0.80 juta).
ix. Majlis Perbandaran Pengerang: 9 projek (RM22.91 juta).
x. Majlis Perbandaran Pontian : 5 projek (RM4.29 juta).
xii. Majlis Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Mersing, Majlis Daerah Tangkak, Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Daerah Labis yang Jumlah 21 projek dengan keseluruhan peruntukan lebih RM8 juta.

Tambah Mohd Jafni, antara projek besar termasuk penaiktarafan Hutan Bandar Johor Bahru, Zoo Johor Fasa 2 dan Night Zoo, Taman Botani Diraja Johor dan Pusat Rekreasi Sungai Melayu.

Seterusnya katanya, komponen Smart City menerima peruntukan khusus RM25.4 juta bagi pembangunan sistem pemantauan, digitalisasi perkhidmatan, aduan pintar dan paparan data masa nyata.

“Negeri Johor melalui PLANMalaysia Johor komited memastikan tujuh PBT Johor yang telah mencapai penarafan SMART CITY level 1 dan 2 akan mencapai taraf yang lebih tinggi dan baki PBT yang lain akan beroleh penarafan smart city menjelang 2026.

“Pelaksanaan program ini turut didorong oleh komitmen kecekapan pentadbiran, pemerkasaan teknologi dan libat urus berfasa bersama rakyat,” katanya.

Berhubung perkara sama, Mohd Jafni yakin di bawah kepimpinan Onn Hafiz, beliau bersama pasukannya akan terus memperhebat pelaksanaan dan menyasarkan impak yang lebih besar sepanjang 2025.

“Saya dan pasukan percaya kejayaan sebenar terletak pada hasil yang dirasai oleh rakyat – rumah dimiliki, bandar selamat, persekitaran bersih dan kehidupan yang berkualiti.

“Insya-Allah, saya dan pasukan akan terus istiqamah bekerja, menunaikan amanah dan membina Johor yang lebih Maju, Sejahtera dan Berdaya Huni,” tekadnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79