Kemajuan Teknologi: Kerajaan Perlu Fokus Industri Kajian Dan Penyelidikan

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan kerajaan perlu bersiap sedia dengan memberi fokus dan penekanan kepada industri kajian dan penyelidikan.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, jika tidak diambil tindakan segera dibimbangi negara akan berada dalam situasi ketinggalan berbanding negara lain.

“Saya juga berharap untuk kita melihat apakah tindakan selepas ini? Adakah hanya tarif sahaja yang menjadi kegusaran kepada kita?

“Kita melihat, ada perkara yang kita terlepas pandang kerana ada kuasa-kuasa besar dunia atas nama kemajuan teknologi canggih rupa-rupanya menekan ekonomi Malaysia. Bukan sahaja ekonomi negara malah menekan ekonomi rumah tangga atau keluarga.

“Di atas nama kemajuan teknologi ini, kita terpaksa mengikut teknologi. Disebabkan teknologi ini, kita sebenarnya tidak memberi penekanan kepada industri kajian dan penyelidikan di Malaysia.

“Saya bimbang kerana kita perlu usaha bersepadu untuk memastikan kitalah peneraju kepada teknologi berasaskan pelaburan sumber asli yang ada dalam negara kita dan bukan hanya sekadar meminjam teknologi yang ada di luar negara,” katanya pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau tindakan unilateral yang dibuat oleh AS adalah tidak wajar kerana telah melanggar prinsip-prinsip perdagangan yang termaktub dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang diasaskan pada tahun 1948.

Katanya, malah penubuhan WTO juga melibatkan AS yang juga menjadi pengasasnya.

“Adakah ini mengetepikan prinsip-prinsip perdagangan yang adil, agar perjuangan dahulu tidak lupakan semata-mata hanya untuk memikirkan kepentingan negara-negara yang mempunyai kuasa besar,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut sama berharap kerajaan untuk menyegerakan pengumuman Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi memastikan penyesuaian dilakukan rentetan ekonomi global yang mencabar.

“KDNK ini dilaporkan oleh dua platform yang penting iaitu melalui laporan tahunan dan kajian ekonomi dan monetari Bank Negara.

“Tetapi ada keperluan yang mendesak dan kewajaran untuk kita segerakan pengumuman KDNK negara agar semua pihak mengetahui tentang bagaimana untuk kita melakukan tindakan pembetulan dan penyesuaian terhadap suasana serta situasi yang kita hadapi pada hari ini.

“Bimbang saya jika lambat pengumuman ini kita juga akan merencatkan pengumuman Rancangan Malaysia ke-13 yang bakal diumumkan tahun ini,” ujar beliau.

Untuk rekod tarif yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas, termasuk tarif asas sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua negara dan levi tambahan termasuk sebanyak 24 peratus ke atas eksport barangan Malaysia.

Langkah itu dilaporkan merupakan sebahagian daripada usaha Washington untuk menyelaras semula hubungan perdagangan dan menangani defisit perdagangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79