PRK Ayer Kuning: Calon BN Berpotensi Jadi Wakil Rakyat Terbaik – Mohd Isa
TAPAH, 17 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir berpotensi untuk menjadi wakil rakyat yang terbaik kepada masyarakat di kawasan tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim ketika ditemui UMNO Online berkata, beliau telah turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tapah Road Utara untuk menziarahi para pengundi yang kurang bernasib baik di kawasan tersebut, semalam.
“Hari ini, saya mewakili Negeri Selangor sebagai negeri angkat yang menjaga PDM Tapah Road Utara. Bahagian Hulu Selangor dan Gombak dipertanggungjawabkan untuk menjaga PDM ini. Kita telah melaksanakan program ziarah kasih untuk bertemu dengan mereka yang kurang bernasib baik.
“Kita juga menyediakan kemudahan-kemudahan untuk mereka keluar mengundi… kita akan aturkan kenderaan, kerusi roda dan sebagainya. Untuk pihak Negeri Perak, kita ucapkan syabas kepada jentera PRK Ayer Kuning kerana segala gerak kerja nampak teratur.
“Begitu juga kepada jentera di PDM ini yang terdiri daripada UMNO Bahagian Parit, Gombak dan Hulu Selangor. Semua jentera kita telah siap sedia untuk bekerja dan telah memulakan operasi sejak hari Penamaan Calon. Kita akan bekerja bersama-sama untuk merayu dan mengenal pasti masalah serta cuba menyelesaikannya. Insya-Allah,” katanya.
Ujarnya, beliau yakin sekiranya momentum yang ditunjukkan oleh BN sepanjang tempoh berkempen ini dikekalkan, calon dipertaruhkan parti mampu untuk menang di kawasan tersebut.
“Saya rasa calon kita amat kuat, baik dari segi peribadi dan penampilan. Saya rasa kita mempunyai calon yang cukup berpotensi untuk menang dan menjadi wakil rakyat terbaik. Kita mencari wakil rakyat yang boleh bekerja untuk rakyat.
“Saya yakin, sepanjang empat ke lima hari berada di sini, saya melihat momentum untuk BN itu memang dah ada. Cuma, kita nak meningkatkan jumlah undi supaya tercapai matlamat yang disasarkan oleh negeri iaitu 18,000 majoriti undi.
“Insya-Allah, dengan usaha sama, kerja kuat para jentera di semua peringkat, saya yakin ia boleh dicapai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para jentera untuk menjaga kesihatan ketika musim berkempen dan berharap agar mereka dapat bekerja dalam bentuk kerjasama yang erat.
“Kepada jentera, saya harap… pertamanya kena menjaga kesihatan, cukup rehat dan bekerja mengikut arahan jentera tempatan. Kita sebagai bahagian dan negeri angkat, hanya melengkapi jentera tempatan dan saya harap semua jentera dapat bekerja dengan baik.
“Alhamdulillah, para jentera terutamanya Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ini bukan pertama kali nak bekerja dalam pilihan raya. Mereka sudah mempunyai pengalaman dan mahir dalam usaha-usaha meraih undi. Saya yakin kalau semuanya berjalan dengan lancar, target yang disasarkan akan dapat dicapai. PDM yang dulunya kita kalah sedikit, saya yakin akan menang kembali,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menyeru para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebaiknya dengan memberi mandat kepada wakil rakyat BN yang selari dengan Kerajaan Negeri Perak mahupun pusat.
“Kepada pengundi, saya menyeru semua untuk turun pada 26 April ini. Pilihlah seorang wakil rakyat yang mampu bekerja untuk kepentingan rakyat. Ambillah peluang ini untuk mengekalkan wakil rakyat kerajaan di kawasan ini.
“Janganlah kita membuat kesilapan dengan kita memilih seorang wakil rakyat untuk menjadi pembangkang. Sudah tentulah mereka tidak boleh membantu rakyat. Saya pernah menjadi wakil rakyat pembangkang dulu. Saya tahulah, kita tidak dapat apa-apa peruntukan ataupun kemudahan untuk membantu rakyat kita. Jika kita memilih wakil rakyat pembangkang, yang ruginya adalah masyarakat itu sendiri.
“Jadi, jangan salah pilih. Pilihlah Dr Ustaz Yusri Bakir, calon nombor 1 untuk menjadi wakil rakyat di Ayer Kuning ini. Insya-Allah kita sama-sama doakan,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Dr Ustaz Yusri Bakir yang mewakili BN merupakan bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman