Jangan Ambil Mudah… Kerja Kuat Pastikan Kemenangan BN Di Ayer Kuning
REMBAU, 12 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati jentera agar jangan mengambil mudah dan selesa dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ujar Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar Negeri itu, walaupun berdasarkan atas kertas kemenangan berpihak kepada BN, tetapi ia mestilah disusuli dengan gerak kerja yang kuat dan tersusun.
“Bagi saya setiap pilihan raya baik Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan juga Pilihan Raya Kecil ia berbeza-beza. Ia tak sama.
“Kita tak boleh ambil mudah walaupun atas kertas untuk Barisan Nasional menang ada. Tetapi kita masih perlu kerja kuat, menyusun gerak kerja, jentera parti mesti tersusun dan kita mesti dapat menyantuni seramai mungkin pengundi-pengundi di kawasan tersebut,” ujarnya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Tanjung, Rantau di sini, hari ini.
Hari ini juga berlangsung Hari Penamaan Calon bagi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, Tapah dan BN diwakili Dr Ustaz Yusri Bakir, bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh serta akan berhadapan dengan dua lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin daripada BN yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memohon maaf kepada parti kerana tidak dapat turut hadir ke penamaan calon itu kerana dalam masa yang sama menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitrinya yang dirancang sejak awal lagi.
Berhubung dengan sambutan Malis Rumah Terbuka Aidilfitri itu, Mohamad bersyukur majlis berjalan lancar dan gembira melihat pelbagai kaum hadir.
Berdasarkan tinjauan UMNO Online, pengunjung jelas kelihatan gembira disantuni Mohamad dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin yang ramah menyambut ketibaan tetamu di hadapan kediamannya itu dan ramai yang turut mengambil peluang bergambar bersama.
Dilaporkan, kira-kira lebih 50,000 orang pengunjung hadir ke majlis tersebut termasuklah pemimpin negara dan kerajaan, parti politik serta perwakilan asing.
“Ini adalah merupakan satu keindahan Malaysia yang berbilang kaum, budaya. Kita meraikan setiap perayaan seperti (majlis) ini Hari Raya, sebelum ini Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
“Jika dilihat apa yang ada pada hari ini, jelas menunjukkan kepelbagaian kita itu sebagai satu keakraban di mana kita sama-sama sebagai rakan-rakan, rakyat setempat dan sekampung.
“Ini mesti kita perkasakan. Kita jangan terikut-ikut dengan beberapa fahaman yang kadang-kadang sengaja untuk mencari masalah, isu-isu yang boleh menyebabkan kepaduan rakyat Malaysia retak, itu berbahaya,” katanya lagi.
Seterusnya Mohamad menyeru kepada semua rakyat agar bersyukur kerana hidup di dalam sebuah negara yang dibina dengan baik dan aman damai sejak merdeka puluhan tahun lagi.
“Kalau dilihat pada orang lain, kita memang patut bersyukur. Saya baru balik dari Myanmar minggu lepas bagaimana dahsyatnya gempa bumi. Saya masa bermesyuarat dengan Perdana Menteri Myanmar, gegaran kuat ada berlaku, itu gegaran ke-79, semalam ada gegaran lain lagi susulan 5.9 magnitud.
“Kita tiada gunung berapi… jadi bersyukurlah menjadi sebuah negara yang aman damai. Kita sepatutnya bersama-sama membina persefahaman, pupuk perpaduan dan ini merupakan rahsia dan resepi negara kita nak maju.
“Tiada siapa yang mahu berdagang, menanam modal, melabur di negara yang tidak stabil. Negara yang kacau-bilau tiada siapa yang mahu melabur dan menanam modal di sana,” katanya.
Manakala menyentuh apa yang berlaku di Myanmar, Mohamad berkata Kerajaan Malaysia secara prinsip bersetuju untuk menyediakan Hospital Medan Malaysia di Myanmar bagi meneruskan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu dan perkara tersebut mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada mesyuarat Kabinet minggu lepas.
Katanya, sebanyak 84 hospital di Myanmar runtuh dan mereka memerlukan bilik pembedahan bergerak yang diuruskan oleh pakar perubatan.
Mohamad berkata hospital medan tersebut dilengkapi dengan lebih 30 bahagian, termasuk bilik bedah, X-Ray dan kemudahan wad dengan lebih 30 katil.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia juga tidak teragak-agak untuk membawa keluar pasukan perubatan, peralatan, serta bantuan yang diselaraskan bersama negara-negara ASEAN lain jika keselamatan mereka terancam semasa berada di Myanmar.
Pada 5 April lepas, Mohamad mengadakan lawatan sehari ke Myanmar untuk melaksanakan misi kemanusiaan dan Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan kepada Myanmar yang terkesan akibat tragedi bencana alam itu. – UMNO ONLINE