UMNO Seputeh Anjur Majlis Berbuka Puasa, Santuni Golongan Memerlukan

KUALA LUMPUR, 28 Mac – UMNO Bahagian Seputeh semalam berbesar hati menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Santunan Kasih Ramadan bagi merapatkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat di samping menyantuni golongan memerlukan.

Kehadiran luar jangkaan apabila dibanjiri seramai 1,200 orang ternyata membawa keterujaan kepada Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Razlan Rafii yang meluahkan kesyukuran dengan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Memanfaatkan majlis tersebut, pemberian sumbangan turut diberikan kepada seramai 300 penerima antaranya anak yatim, tahfiz dan asnaf bagi meringankan beban mereka sebagai persiapan menyambut Syawal.

Mohd Razlan yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ketika ditemui media memaklumkan sudah menjadi kelaziman kepada pihaknya menganjurkan program seumpama ini untuk berkongsi rezeki bersama penduduk sekitar.

“Alhamdulillah dan sebenarnya bulan Ramadan di Seputeh ini memang kita tiap-tiap tahun buat seperti biasa dilakukan dengan menyantuni asnaf-asnaf di sekitar Parlimen Seputeh, banyak 300 orang dan kita juga menyantuni anak-anak tahfiz dan juga orang-orang yang memerlukan bantuan.

“UMNO Bahagian Seputeh ada Biro Kebajikan mereka ini memang aktif, melalui ini kita berikan sumbangan sekiranya ada kematian ahli-ahli UMNO Bahagian Seputeh akan beri sebanyak RM500 dan juga sekiranya ada anak-anak ahli yang kahwin pun kita buat bagi sumbangan RM500,” katanya.

Beliau berkata khidmat bakti dilaksanakan sepanjang masa terutama membabitkan ahli UMNO dan warga Seputeh bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita akan kekalkan perkara ini sepanjang penggal ini sebab menghargai ahli-ahli UMNO dengan memberikan keutamaan kepada mereka kerana memang tanggungjawab kita di Seputeh ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menjaga kebajikan orang Melayu.

“Walaupun orang Melayu tak ramai di Seputeh ini tetapi kebajikan mereka kita kena jaga sebab penubuhan UMNO itu sendiri adalah untuk memastikan setiap inci di pelusuk negara mestilah diwakili oleh perjuangan orang Melayu itu sendiri,” ujar beliau.

Selain kepimpinan bahagian, majlis turut diserikan dengan kehadiran ahli-ahli UMNO Bahagian Sungai Besar yang diketuai oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi bersama Pergerakan Pemuda UMNO Selangor dan Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin serta akar umbi parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit