Jeffery Nor Serah Kunci Rumah Baharu PPRT Kepada Empat Keluarga Di Putatan

PUTATAN, 14 Mac – Empat keluarga dari kawasan Parlimen Putatan kini boleh menarik nafas lega selepas menerima kunci rumah baharu menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Penyerahan kunci rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Jentera Pilihan Raya Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed.

Empat buah rumah telah diserahkan kepada penerima di Kampung Tebongon, Kampung Lok Kawi Baru, Kampung Meruntum, dan Kampung Contoh, hari ini.

Dalam hal ini, Jeffery Nor menzahirkan komitmennya dalam membantu penduduk Putatan memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha ini bukan sekadar terhenti di PPRT, malah turut diperluaskan melalui pelbagai inisiatif lain seperti Program Bantuan Rumah Mesra Rakyat dan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), yang bakal memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.

“Adalah menjadi aspirasi saya untuk memastikan rakyat Putatan mempunyai tempat tinggal yang lebih baik dan selesa. Kami akan terus berusaha dan menggunakan pelbagai inisiatif untuk memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam gerak kerja turun padang menyampaikan penyerahan kunci ini, Jeffery Nor turut ditemani oleh Pengarah GiatMARA, Azizudin, serta pasukan GiatMARA Sabah yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan projek ini.

Jeffery Nor merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada ngga kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, atas sokongan dalam menyalurkan projek perumahan ini ke daerah Putatan melalui agensi GiatMARA.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk para pegawai terlibat dan para kontraktor yang telah melaksanakan projek ini dengan cemerlang.

Dalam kesempatan tersebut, beliau bersama pasukan GiatMARA Sabah turut meninjau beberapa rumah lain yang memerlukan pembaikan dan pembinaan baharu.

Beliau berjanji akan terus berusaha membantu mana-mana penduduk yang layak untuk menerima bantuan perumahan pada masa akan datang.

“Ini adalah antara perhatian dan usaha yang diberikan dalam membantu golongan yang memerlukan. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat setempat.

“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit