Pindaan Akta: Langkah Tegas Kerajaan Menangani Jenayah – Adzly Manas
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang UMNO Bahagian Sungai Buloh, Adzly Ab. Manas, menyambut baik cadangan pindaan terhadap Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 bagi memperketatkan hukuman terhadap perbuatan membuli, mengugut, serta mengaibkan individu.
Menurutnya, pindaan ini akan menjadi langkah tegas dalam menangani jenayah siber seperti buli maya, ugutan digital, serta penyebaran kandungan yang bertujuan merosakkan maruah seseorang.
“Kesalahan memuat naik hantaran berbentuk ugutan atau penghinaan bakal berdepan tindakan keras di bawah peruntukan baharu ini.
“Lebih drastik, cubaan membunuh diri kini bakal diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah yang berat, bertujuan melindungi individu berisiko dan memastikan mereka menerima bantuan sewajarnya.
“Perbuatan ‘body shaming’ serta buli siber turut menjadi fokus utama bagi mencegah budaya toksik yang semakin berleluasa di media sosial,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Adzly yang juga Peguam Hak Asasi Manusia berkata pindaan ini juga bakal memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk membanteras taktik kejam sindiket ‘Along’ yang menggunakan ugutan serta penghinaan untuk menekan peminjam.
“Dengan peruntukan yang lebih ketat, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pihak yang menyalahgunakan platform digital untuk tujuan pemerasan dan memalukan mangsa.
“Langkah ini adalah penting dalam melindungi rakyat daripada sebarang bentuk gangguan, ugutan, serta penghinaan yang boleh memberi kesan negatif kepada mental dan emosi mereka,” ujarnya.
Tegas Adzly, dengan pelaksanaan pindaan ini, kerajaan dilihat semakin serius dalam menangani jenayah siber dan eksploitasi digital, sekaligus memastikan ekosistem internet yang lebih selamat dan harmoni. – UMNO Online