KESUMA Perkukuh Akses Pekerjaan Untuk Golongan OKU – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) amat prihatin berkenaan penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pasaran pekerjaan negara.
Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata KESUMA telah dipertanggungjawabkan mengetuai jawatankuasa pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Jelasnya, jawatankuasa ini bertujuan untuk membincangkan dan mencadangkan langkah penyelesaian isu akses pekerjaan OKU dan membantu mendapatkan akses kepada pekerjaan.
“Menubuhkan sebuah Pusat Satelit MYFutureJobs khusus untuk golongan OKU di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP Bangi) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) serta melaksanakan karnival pekerjaan secara bersasar khusus untuk golongan OKU.
“Melaksanakan Program Return To Work (RTW) iaitu program pengurusan hilang upaya untuk membantu pencarum yang cedera, hadapi penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat. Bagi tempoh 2020 sehingga 31 Disember 2024, seramai 70,566 pencari kerja OKU termasuk peserta RTW telah berjaya ditempatkan pekerjaan.
“Melaksanakan Program Disability Equality Training (DET) dan Return To Work Coordinator (RTWC) untuk memberikan pendedahan serta sokongan kepada majikan bagi menggajikan pekerja OKU. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada majikan dalam penggajian OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap persoalan dari Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan abu Hassan yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan strategi untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan akses kepada pekerjaan yang sewajarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah, KESUMA memfokuskan program PWD Development di bawah Program Latihan Madani untuk memperkasakan OKU.
“KESUMA menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah memfokuskan program PWD Development iaitu salah satu inisiatif di bawah Program Latihan Madani untuk memperkasakan OKU dengan kemahiran latihan asas melalui pelbagai kursus yang berfokuskan kompetensi atau persijilan. Setakat Disember 2024, sebanyak 1,915 OKU yang menyertai program PWD Development.
“KESUMA menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memberikan pentauliahan kepada 1582 pusat bertauliah di seluruh Malaysia, di mana 922 daripada pusat ini telah menerima pelatih OKU untuk mengikuti latihan kemahiran. Dari jumlah tersebut tujuh pusat bertauliah telah dikhususkan sepenuhnya kepada pelatih OKU.
“JPK juga telah memberi persijilan SKM kepada OKU mulai dari tahun 2020 hingga 2024, seramai 1724 pelatih OKU telah mendaftar, dan lebih daripada 2100 pelatih telah berjaya dipersijilkan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Abdul Rahman menjelaskan KESUMA menerusi JTM telah menyediakan bantuan berupa elaun sebanyak RM300 sebulan serta pengecualian yuran pengajian kepada pelajar.
“KESUMA menerusi JTM telah melatih pelajar-pelajar golongan OKU dan menyediakan bantuan berupa elaun sebanyak RM300 sebulan serta pengecualian yuran pengajian.
“Dalam tempoh tahun 2020 hingga 2024, sejumlah 245 orang pelajar OKU pelbagai kategori telah dilatih di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dalam bidang Teknologi Rekabentuk Grafik, Teknologi Elektronik dan Teknologi Mekatronik,” ujarnya. – UMNO Online