Tarik Lesen Pengimport, Pengilang Beras Manipulasi Harga Dan Produk- Mohd Kamal
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Kamal Ulum Morsin berpandangan kerajaan wajib bertindak tegas terhadap pengimport atau pengilang yang bertindak mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan menjual dengan harga lebih tinggi.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai berkata tindakan perlu dilakukan dengan menarik lesen mereka serta mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
“Hal ini perlu diambil serius dan segera oleh pihak kerajaan kerana memberi impak yang buruk kepada kerajaan berkaitan penguatkuasaan dan mungkin salah guna kuasa.
“Isu ini bukan sekadar menjejaskan pengguna tetapi juga petani tempatan yang berusaha menghasilkan beras berkualiti.
“Tiada kompromi terhadap pihak yang tamak dan mengambil kesempatan atas keperluan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohd Kamal dalam pada itu turut sama mengemukakan beberapa langkah yang boleh diambil antaranya dengan melaksanakan audit dan pemeriksaan ketat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Menurut beliau ia perlu dilakukan dengan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua pengilang dan pengimport bagi memastikan tiada lagi manipulasi harga dan produk.
“Penarikan lesen dan denda maksimum terhadap syarikat yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk penarikan lesen perniagaan serta denda besar agar masalah ini tidak berulang. Selain itu melalui ketelusan dalam rantaian bekalan beras,kerajaan boleh mewajibkan penggunaan teknologi seperti kod QR pada pembungkusan untuk membolehkan pengguna menyemak asal-usul beras yang dibeli.
“Langkah lain seperti memperkasa pengeluaran beras tempatan kerana jika kebergantungan kepada beras import menjadi punca masalah, kerajaan perlu mempercepatkan langkah meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan. Langkah kerajaan membuka tanah-tanah baru untuk tanaman padi sangat disokong.
“Isu tentang harga siling padi yang rendah sekarang seperti tuntutan petani perlu segera ditangani. Dan saya percaya jika isu penguatkuasaan perihal isu menipu campuran beras ini berjaya ditangani beberapa isu berbangkit tentang petani padi akan di atasi,” ujar beliau.
Terdahulu melalui laporan media MARDI memaklumkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
MARDI berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024. – UMNO Online