Ahmad Zahid Rakam Takziah Kepada Keluarga Ishsam Shahruddin

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia petang ini.

Difahamkan Allahyarham Ishsam dilapor rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, beliau yang juga bekas pemain bola sepak sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan lain dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Menerus hantaran dalam laman Facebooknya, Ahmad Zahid berkongsi rasa sedih apabila menerima khabar tersebut.

“Menerima perkhabaran duka mengenai pemergian ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan warga DUN Ayer Kuning atas kehilangan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya lagi.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut sama meluahkan dukacita beliau dengan khabar pemergian Ishsam yang dianggap beliau sebagai sahabat.

“Innalillahiwainnailaihiraiun. Mendapat khabar duka akan pemergian sahabat saya, YB Tuan Haji Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning lewat petang tadi.

“Ya Allahu Azza Wa Jalla, Kau ampunilah dosa-dosanya, Kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini.

“Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit