Kepengerusian ASEAN: Malaysia Tumpu Usaha Asia Tenggara Kekal Stabil, Cabaran Geopolitik Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menggariskan tiga keutamaan Kepengerusian antaranya memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata ia akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi dengan berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN dengan menggalakkan semua negara anggota ASEAN untuk bekerjasama memperkasa perpaduan dan Kepusatan ASEAN.
“Kedua, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini.
“Ketiga, Malaysia akan mempromosikan sebuah komuniti yang terangkum, mampan dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha-usaha untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini,” kata Ahli Parlimen Kimanis itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Kemaman-PN) yang bertanya langkah strategik yang diambil oleh Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dalam mencapai tiga strategi ditetapkan iaitu pengukuhan rantaian nilai serantau, pengukuhan asas negara anggota serta penyelarasan dan penyusunan semula ekonomi negara-negara ASEAN.
Dalam pada itu katanya, tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menekankan kepentingan dialog, kerjasama terangkum dan mampan bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil, bagi membolehkan segala aspek kelangsungan hidup diteruskan termasuk memberi tumpuan kepada pendekatan ekonomi pragmatik bersandarkan nilai-nilai kemanusian.
Katanya lagi, sebagai salah satu langkah strategik bagi membolehkan pengukuhan rantaian nilai serantau, pengukuhan asas negara anggota dan penyusunan semula ekonomi dalam kalangan negara-negara ASEAN utama dilakukan menerusi pengukuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Ini termasuk menerajui usaha untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), di mana kedua-duanya direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini.
“Selain itu, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China akan menjadi wadah untuk merintis peluang perdagangan, pelaburan dan perkongsian teknologi dengan lebih meluas dengan rakan kongsi baru.
“Berdasarkan data oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) setakat Oktober 2024, jumlah terkumpul Keluaran Dalam Negeri Kasar tahunan (GDP) ASEAN, GCC dan China adalah USD23.43 trilion. Jumlah terkumpul penduduk ASEAN, GCC dan China pula adalah 2.15 bilion,” katanya lagi.
Selain itu, dalam memastikan ASEAN menikmati limpahan manfaat yang sama rata Mohamad berkata Malaysia turut menyokong kemasukan segera Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN.
“Kemasukan Timor-Leste bukan sahaja melengkapkan lagi ASEAN sebagai sebuah rantau, malah berpotensi mengukuhkan lagi kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya di kalangan negara anggotanya.
“Dengan penyertaan Timor-Leste, ASEAN akan dapat diperkasakan sebagai sebuah organisasi serantau yang terangkum, mampan, berdaya tahan dan berupaya menghadapi pelbagai cabaran semasa dan masa hadapan,” ujar beliau. – UMNO Online