Depani PRU… UMNO Lenggong Lakukan Persediaan Awal, Sasar Rampas DUN Kenering

KUALA LUMPUR, 17 Feb – UMNO Bahagian Lenggong telah memulakan persediaan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan menyasarkan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemering.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perubahan landskap politik dan demografi pengundi menjadi cabaran tambahan untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) ‘sustain and retain’.

“Memang menjadi amalan UMNO/BN Bahagian Lenggong di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad akan membuat persediaan awal menghadapi pilihan raya. Ini menjadi kebiasaan pimpinan di Lenggong sejak dulu.

“Malah dengan perubahan landskap politik dan demografi pengundi yang telah berubah… ditambah cabaran yang semakin berbeza, maka persediaan lebih rapi akan kami lakukan sesuai dengan keadaan dan cabaran politik di Lenggong.

“Sejak PRU ke-11, saya mengetuai Bilik Gerakan Pilihan Raya seperti yang diamanahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Lenggong… dan sekali lagi menggalas amanah tersebut setelah diputuskan dalam mesyuarat UMNO Bahagian Lenggong 8 Januari 2025 lalu,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, UMNO/BN Lenggong akan mengadakan Bengkel Perancangan Strategik pada 27 Februari ini untuk melakukan penelitian dan merancang gerak kerja dengan lebih tersusun.

“UMNO/BN Bahagian Lenggong akan memulakan langkah lebih tersusun kali ini dengan mengadakan Bengkel Perancangan Strategik UMNO/BN Lenggong pada 27 Feb 2025 ini untuk tujuan penelitian dan perancangan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Bilik Gerakan BN Lenggong dipengerusikan saya telah diarah meneliti dan menyusun segala strategi luar daripada kebiasaan untuk memastikan kerusi Parlimen Lenggong, dan DUN Kota Tampan kekal BN kuasai dengan pertambahan majoriti yang disasarkan. Selain itu, memastikan kita dapat merampas semula DUN Kenering,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar usaha yang dilakukan oleh UMNO/BN Lenggong menjadi contoh kepada bahagian-bahagian lain untuk menempa kemenangan pada PRU akan datang.

“UMNO/BN Lenggong kekal berpadu dan akan terus fokus. Keutamaan kami adalah rakyat di samping kekal menjaga ahli UMNO. Semua peringkat kepimpinan parti sehingga ke peringkat cawangan bersepakat melakukannya.

“Kami mahu menjadikan UMNO/BN Lenggong sebagai contoh yang meletakkan parti sebagai keutamaan melebihi yang lain. Amanah dan arahan Ketua UMNO Bahagian Lenggong dilaksanakan dengan bersungguh yang tiada lain niatnya, melainkan mahu Lenggong kekal sebagai kubu BN.

“UMNO/BN Lenggong mahu menjadi popular tidak hanya kepada ahli, tetapi penting kepada rakyat Lenggong. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri UMNO Bahagian, Setiausaha, Bendahari UMNO Bahagian Lenggong dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit