Trump 2.0 Belajar Daripada Penggal Pertama, Lantik Kabinet Setia
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Felo Kanan Program Asia di Carnegie Endowment for International Peace, Elina Noor menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memilih barisan Kabinet yang setia membantunya untuk penggal baharunya kali ini.
Menurut beliau, ini kerana Trump mempelajari daripada penggal pertama ketika pentadbirannya terdahulu.
“Pentadbiran Trump ini agak mirip dengan pentadbiran yang pertama, mungkin tidak sepenuhnya sama namun dia kali ini belajar daripada terdahulu.
“Oleh itu dia telah mengekalkan Kabinet setia berbanding Kabinet yang akan mencabar idea-ideanya dan ini dia pelajari daripada pentadbirannya yang pertama.
“Kalau kita imbas kembali dia telah melalui dua Setiausaha Pertahanan,” katanya.
Elina berkata demikian menerusi Forum Barisan Nasional (BN) menerusi perbincangan Donald Trump: Impak Pemilihan & Dasar-Dasarnya Ke Atas Dunia yang disiarkan di Facebook UMNO Online Rabu malam yang dikendalikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Antara panel forum ialah Profesor Emeritus Universiti Sains Malaysia, Prof Emeritus Dr Johan Saravanamuttu; Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan dan Prof Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya.
Mengulas lanjut Elina berkata ini dibuktikan dengan pelantikan Setiausaha Pertahanan yang dilantik Trump berdepan kontroversi selain kurang berpengalaman.
“Sekarang dia (Trump) sudah tidak lagi berbaik dengan beberapa bekas rakan sejawatnya di Kabinet, jadi apa yang dia hargai dalam pentadbiran ini adalah kesetiaan di atas segala-galanya, termasuk merit.
“Dan jadi apa yang dia hargai dalam pentadbiran ini adalah kesetiaan, sebagai contoh, Setiausaha Pertahanan, yang mempunyai pengalaman tentera yang minimum dan lebih banyak menghabiskan masanya sebagai pengulas politik di saluran TV,” ujar beliau.
Terdahulu Senat AS meluluskan pelantikan bekas hos Fox News dan veteran tentera, Pete Hegseth, sebagai Setiausaha Pertahanan.
Hegseth, yang pernah bertugas di Iraq, Afghanistan dan Teluk Guantanamo, merupakan seorang daripada calon Kabinet Trump yang paling kontroversi berkaitan kehidupan peribadinya, termasuk tuduhan penyalahgunaan alkohol dan keganasan rumah tangga, selain lebih dikenali di AS menerusi saluran pro-Trump, Fox News, di mana beliau menjadi hos bersama rancangan pagi hujung minggu.
Sementara itu,Profesor Emeritus Universiti Sains Malaysia, Prof Emeritus Dr Johan Saravanamuttu menyifatkan perkembangan global memasuki tempoh bukan sahaja ketidakstabilan, tetapi juga pelbagai polarisasi.
Menurut beliau, akan ada banyak kuasa berbeza yang bersaing mendorong kepada persaingan politik di peringkat global yang lebih sukar.
“Jika keadaan ini berterusan, kemerosotan Amerika, saya rasa akan terus berlaku. Dalam hal ini, saya sangat bersetuju bahawa peranan ‘kuasa pertengahan’ adalah sangat penting.
“Jadi kumpulan seperti ASEAN mesti mencari rakan kongsi yang betul, kumpulan yang sesuai untuk bekerjasama. Ini adalah alternatif yang baik, kadangkala kita harus bekerja dengan apa yang ada.
“Oleh itu, saya menyeru pendekatan pelbagai peringkat dengan pendekatan berbeza terhadap perkembangan global dalam menghadapi politik dari AS dan Trump terhadap susunan global hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online