Azalina: Saya Tak Pernah Sokong Gag Order, Ini Pendirian Konsisten Saya!
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyokong perintah ‘gag order’ berhubung isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ujarnya, beliau juga telah menyatakan bahawa perintah ‘gag order’ tersebut tidak sepatutnya dibuat dan Peguam Negara merupakan sebuah badan yang bertindak bebas serta tidak mendapat arahan daripada Menteri Undang-Undang.
“Permohonan perintah larangan bersuara (gag order) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sepatutnya dibuat dalam isu ini kerana perkara berkaitan Titah Adendum telah pun menjadi pengetahuan umum.
“Saya juga telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan beliau menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada pendirian kami, Ahli-ahli Parlimen blok Barisan Nasional (BN) berhubung isu ini dalam mematuhi Peraturan Mesyuarat 36(2),” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menjelaskan peraturan mesyuarat tersebut menetapkan bahawa Ahli-ahli tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili oleh mahkamah.
“Ia membawa maksud bahawa ahli-ahli (Parlimen) tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili Mahkamah (subjudis) dengan cara yang mungkin pada hemat Pengerusi merosakkan kepentingan pihak-pihak di dalam kes tersebut.
“Keputusan tersebut berkaitan larangan membahaskan dan membincangkan perkara berkaitan Titah Adendum dalam Dewan Rakyat.
“Oleh itu, kenyataan beliau perlu difahami dalam konteks tersebut dan bukannya sebagai pendirian Kerajaan terhadap perintah ‘gag order’ secara umum,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Azalina sekali lagi menegaskan bahawa beliau kekal mempertahankan ketelusan dan hak bersuara mengikut undang-undang.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya kekal mempertahankan ketelusan dan hak bersuara mengikut undang-undang. – UMNO Online