Maritim, Ekonomi Angkasa, Pelancongan Perlu Diperhebat Untuk Masa Depan – Shahar Abdullah
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menekankan pertumbuhan utama yang boleh membentuk masa depan ekonomi Malaysia iaitu maritim, pelancongan, ekonomi angkasa, dan ekonomi halal.
Katanya, potensi Malaysia dalam sektor maritim yang mempunyai lebih 4,600 kilometer garis pantai, boleh menjadi peneraju dalam pembinaan kapal, pembaikan kapal dan teknologi marin.
“Kesan limpahan ekonomi daripada Ibu Kota Nusantara di Kalimantan bukan sahaja memberi kelebihan kepada sempadan darat malahan laluan maritim di seluruh Borneo akan mendapat tempiasnya.
“Pemerkasaan Port Lahad Datu Sabah adalah penting kerana ia berada di laluan perdagangan utama di Laut Sulu dan Laut Sulawesi dan berpotensi menjadi hab logistik perdagangan bagi Malaysia Timur terutama dalam hubungan dengan Filipina, Indonesia dan Brunei.
“Kita juga harus beri perhatian terhadap dapatan World Bank dimana ‘Average Berthing Delay’ (ATA) atau kapal kontena perlu menunggu untuk berlabuh, Port Klang , 9.3 jam di West Port dan 1.9 jam di North Port. Ini menyebabkan jumlah kapal yang ingin berlabuh di Port Klang menurun 5 peratus pada 2024,” beliau berkata demikian pada titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia berkata Ekonomi Angkasa dijangka mencecah RM8.6 trilion menjelang 2035, menurut Laporan WEF dengan kerjasama McKinsey & Company.
“Ini menandakan anggaran kadar pertumbuhan purata sebanyak sembilan peratus setahun terutamanya didorong oleh teknologi berasaskan angkasa atau didayakan seperti komunikasi, kedudukan, navigasi dan perkhidmatan pemerhatian bumi dan negara telah melancarkan satelit cerapan bumi pertama (UzmaSAT-1).
“Malaysia turut diiktiraf dalam pembuatan cip angkasa lepas. Syarikat tempatan seperti NS Electronics telah bekerjasama dengan agensi angkasa lepas untuk menghasilkan komponen satelit, menunjukkan asas kukuh untuk berkembang dalam industri ini.
“Kita perlu melabur dalam pendidikan dan latihan bagi memupuk bakat tempatan dalam bidang STEM. Kerjasama antara industri, kerajaan, universiti, institusi penyelidikan perlu diperkukuhkan untuk menyokong inovasi dan pengkomersialan teknologi angkasa,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Shahar, ekonomi halal berpotensi meletakkan Malaysia sebagai peneraju global.
“Kita juga perlu memanfaatkan kedudukan sebagai perintis kewangan Islam dengan mengembangkan produk kewangan inovatif, pelaburan halal, dan penyelesaian kewangan digital untuk memenuhi permintaan global yang meningkat.
“Pelancongan halal juga merupakan sektor yang sedang berkembang pesat di peringkat global dan harap negara tidak ketinggalan dalam kerancakan sektor tersebut sedangkan kita merupakan pelopor dalam industri halal secara keseluruhan,” jelasnya.
Seterusnya kata beliau lagi, negara Thailand telah melancarkan industri halal dan ini menunjukkan kesungguhan memenuhi permintaan global.
“Thailand telah melancarkan pelan empat tahun tindakan industri halal pada Julai tahun lalu yang merangkumi penubuhan ‘Halal Valley’ di wilayah selatan majoriti Muslim.
“Ini menunjukkan kesungguhan untuk memenuhi permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal,” jelasnya lagi.
Seterusnya kata beliau lagi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pertahanan secara lapisan, Malaysia tidak hanya bergantung pada pasukan utama seperti Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Malaysia tidak hanya bergantung pada pasukan utama seperti Tentera Malaysia dan PDRM tetapi juga pada Pertahanan Lapisan Kedua seperti RELA, SRS, APMM dan APM telah menjadi tulang belakang keselamatan nasional selama puluhan tahun.
“Kejayaan dan keberkesanan RELA, SRS, APMM dan APM dizahirkan dan ini bukti bahawa pertahanan moden memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan kekuatan rakyat, teknologi, dan kerjasama antara pelbagai agensi.
“Sumbangan mereka bukan sekadar bukan sekadar angka tetapi melengkapi sokongan keselamatan kepada pasukan utama disamping menjaga kelangsungan kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional,” ujarnya.
Menyedari hakikat kerajaan agar terus melaksanakan pengukuhan peranan agensi-agensi ini melalui peruntukan undang-undang, latihan, peralatan teknologi terkini, keselamatan, kebajikan dan kewajaran elaun, gaji yang bermaruah kepada penjawat ‘second line of defence’. – UMNO Online