Malaysia Komited Lindungi Hak Dan Kebajikan Pekerja Asing – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan sentiasa memandang serius berkaitan isu pekerja asing termasuklah hal ehwal dan kebajikan mereka.

Dalam hal ini Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia secara rasmi telah meratifikasi Konvensyen  International Labour Organization (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) yang juga dikenali sebagai Protokol 29 pada 21 Mac 2022 sebagai usaha menangani isu buruh paksa di negara ini.

Katanya, kerajaan juga sentiasa komited dalam mematuhi ILO 11 indikator petunjuk buruh paksa yang ditetapkan oleh International Labour Organization (ILO).

“Dalam usaha melindungi pekerja dan memastikan mereka mendapat keadilan yang sewajarnya, kerajaan turut menyediakan beberapa platform saluran aduan/kilanan (grievance mechanism) untuk pekerja membuat aduan, terutamanya bagi menangani isu buruh paksa, eksploitasi dan pelanggaran hak pekerja.

“Bagi memastikan penggajian pekerja asing di sektor perladangan dibuat secara beretika, pihak Kementerian telah mewajibkan syarikat perladangan untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dengan memenuhi semua syarat dan kriteria yang ditetapkan.

“Melalui Pensijilan MSPO ini juga, ia turut mengambil kira aspek sosial dan kebajikan pekerja melalui pematuhan akta kerja 1955 (Akta 265), akta standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja 1990 (Akta 446) serta akta-akta lain yang berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab persoalan dari Edwin Anak Banta (Selangau) yang meminta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan bagaimana Kementerian menangani isu pekerja asing dalam sektor perladangan, termasuk langkah-langkah yang diambil untuk memastikan hak-hak pekerja dilindungi, meningkatkan syarat-syarat pekerjaan dan menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam sektor ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan Kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan.

“Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi yang lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran berhubung penggajian pekerja secara beretika.

“Siri seminar kesedaran telah dianjurkan sejak tahun 2020 yang bertujuan untuk memberi penerangan berhubung aspek- aspek perburuhan. Ia merangkumi pematuhan undang-undang perburuhan, hak dan tanggungjawab majikan dan pekerja serta amalan terbaik perburuhan di sektor perladangan,” katanya lagi.

Tambah Naib Presiden UMNO itu lagi, bagi menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai sektor perladangan, KPK telah merangka beberapa program bagi menjadikan pekerjaan di sektor ini lebih menarik serta menjanjikan laluan kerjaya yang lebih terjamin.

“Menggunakan secara meluas teknologi 4IR seperti Internet of Things (IOT) dan Artificial Intelligence (AI). Melahirkan machine specialist dan harvesting technician melalui jalinan kerjasama strategik antara Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) dengan syarikat-syarikat perladangan seperti SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad.

“Menawarkan kursus TVET yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dan turut mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu Kursus Mekanisasi Operasi Ladang (KOML).

“Mengadakan program Place and Train dengan syarikat perladangan bagi memberi jaminan penempatan pekerjaan kepada warga tempatan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit