ASEAN Sepakat Perkukuh Daya Saing Ekonomi, Tingkatkan Perdagangan Serantau – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Negara-negara anggota ASEAN telah sebulat suara menegaskan keperluan untuk memperkukuh kepusatan dan meningkatkan daya ekonomi serantau dalam menangani ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dengan merancakkan lagi kerjasama, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menjelaskan pentadbiran baharu Amerika Syarikat setakat ini mengamalkan dasar ‘American First’ yang berpotensi membawa perubahan dalam pendekatan mereka terhadap hubungan dengan ASEAN, BRICS, serta kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Malaysia mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara, kecuali negara yang mengamalkan dasar secara terang-terang melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Ini selaras dengan dasar luar kita yang bebas, berprinsip dan pragmatik di mana kita sentiasa komited dalam usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara asing demi manfaat bersama.

“Ini akan merancakkan lagi perdagangan antara ASEAN kerana ia terlalu rendah dan masih lagi di bawah 25 peratus, jadi kita hendak meninjau dan menerokai bagaimana cara untuk kita berdagang sesama sendiri dahulu serta dapat meningkatkan lagi aktiviti ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bagaimana selaku Pengerusi ASEAN Malaysia akan mengimbangi hubungan ASEAN bersama BRICS dengan mengambil kira ancaman ekonomi oleh Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden Trump.

Justeru, kata Mohamad, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

“Langkah-langkah strategik akan diambil untuk mengimbangi kepentingan negara dengan pendekatan pentadbiran baharu Amerika Syarikat, sambil memanfaatkan peluang untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada dengan Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau turut menjawab persoalan dari Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (Simpang Renggam) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah kesan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan negara BRICS dan ahli ASEAN dan bagaimana Kerajaan akan menyesuaikan dasar luar negara bagi menjaga kepentingan strategik serantau dan global.

“Kita juga turut mendukung kepentingan pelbagai hala multi-lateralism, bagi membolehkan Malaysia dan masyarakat antarabangsa sama-sama menangani pelbagai cabaran global yang mendesak.

“Ini terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Kumpulan 77 (G-77) dan BRICS.

“Malaysia turut menganggotai dan melibatkan diri secara aktif dan konsisten melalui platform-platform Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF),” jelas beliau.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata Malaysia kekal komited untuk menjalin hubungan dan kerjasama yang erat dengan semua negara, termasuk negara-negara bukan anggota BRICS seperti negara-negara Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Malaysia akan menggandakan usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang berkepentingan lain bagi memastikan kepentingan ekonomi dan perdagangan Negara kekal utuh di persada antarabangsa.

“Di peringkat ASEAN, selaras dengan prinsip keterangkuman di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia, usaha akan diteruskan dalam memperkasa hubungan ASEAN dengan semua rakan-rakan dialog dan lain-lain rakan luarnya menerusi dialog dan kerjasama yang membina,” ujarnya.

Tambah beliau, secara kumulatif, Amerika Syarikat adalah negara sumber pelaburan langsung asing, atau Foreign Direct Investment (FDI), yang terbesar di Malaysia.

“Malaysia akan terus mengeratkan hubungan kerjasama dengan Amerika Syarikat untuk meneroka peluang-peluang baharu dalam meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala untuk manfaat bersama, dengan mengambil kira perdagangan dan pelaburan dengan semua negara, demi melindungi kepentingan ekonomi Negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit