Titah Adendum: Langkah Tegas Perlu Diambil, Pulihkan Hak YDPA Dalam Perlembagaan – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Veteran UMNO berpendapat bahawa satu langkah tegas perlu diambil untuk memulihkan kedudukan dan hak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihak eksekutif dilihat telah gagal melaksanakan fungsi utama mereka dalam memelihara kuasa mutlak YDPA sehingga mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat.

“Merujuk kepada perkembangan terkini berhubung isu Titah Adendum Najib, Veteran UMNO berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk mempertahankan kemuliaan institusi YDPA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya, pihak eksekutif dilihat telah gagal melaksanakan fungsi utama mereka untuk memelihara kuasa mutlak YDPA dalam perkara berkaitan pengampunan Di-Raja, yang kini mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan rakyat serta negara.

“Kegagalan ini menjadi semakin ketara apabila mahkamah berdasarkan maklumat yang tidak lengkap dan terpesong, menganggap adendum tersebut tidak wujud atau sekadar ‘hearsay’. Namun, pengesahan yang dilakukan oleh Majlis Kesultanan Pahang dengan ihsan Sultan Pahang, yang juga merupakan YDPA ke-16, telah membuktikan kewujudan titah tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan pihak Peguam Negara menyerahkan semula Titah Adendum tersebut kepada pihak Istana Negara juga telah mencemarkan kemuliaan institusi YDPA.

“Lebih mengejutkan, kenyataan terbuka Perdana Menteri ke-10 (PMX) mengesahkan bahawa adendum berkenaan sebenarnya telah diserahkan semula kepada Istana Negara oleh pihak Peguam Negara.

“Pengakuan ini membongkar kegagalan pihak Peguam Negara untuk melaksanakan titah tersebut, sehingga mencetuskan rentetan peristiwa yang memberi gambaran seolah-olah pihak eksekutif memiliki kedudukan lebih tinggi daripada YDPA.

“Tindakan sebegini bukan sahaja mencemarkan kemuliaan institusi YDPA tetapi juga mengganggu kestabilan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar dengan kebijaksanaan dan hikmah Raja-Raja Melayu dapat memandu negara ke arah penyelesaian yang adil.

“Keadaan ini mendesak agar satu langkah tegas diambil untuk memulihkan kedudukan dan hak YDPA seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, Veteran UMNO dan rakyat jelata merayu dengan penuh takzim kepada Raja-Raja Melayu agar satu Persidangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan. Tujuan persidangan ini adalah untuk membincangkan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu yang telah menyentuh kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

“Semoga kebijaksanaan dan hikmah Raja-Raja Melayu dapat memandu negara ke arah penyelesaian yang adil dan menegakkan kembali kemuliaan institusi YDPA,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menyembunyikan Titah Adendum yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.

Sebaliknya, Anwar berkata, peguam negara menerima surat berhubung titah tambahan diraja itu selepas Agong bertukar dan ia diserahkan kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat keputusan.

Jelas Anwar, beliau adalah antara individu awal yang membawa agenda tersebut dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan merangkumi laporan kesihatan, penjara serta laporan polis untuk diputuskan Agong yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit