Jangan Timbulkan Spekulasi Elak Subjudis, Serahkan Kepada Mahkamah – Azalina
KUALA LUMPUR, 11 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap rakyat terutama ahli parti untuk tidak membuat sebarang spekulasi membabitkan Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata ini kerana ia dibimbangi menimbulkan subjudis.
“Kalau Mahkamah Rayuan sudah buat keputusan bahawa perlulah Mahkamah Tinggi dipulangkan balik tentang isu titah itu, saya nak minta semua dari parti untuk serahkan balik kepada Mahkamah Tinggi.
“Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi akan tetapkan tarikh perbicaraan dan saya minta kita semua tak payah buat spekulasi kerana sekarang ini mahkamah memainkan peranan untuk membuat penentuan.
“Kita pun tak nak isu subjudis maknanya bila dah jadi kes mahkamah banyak komen-komen saya rasa pun tak adil bagi semua pihak,” katanya kepada UMNO Online.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dalam pada itu berkata perkara terpenting ialah kewujudan Adendum yang telah terbukti dan akan melalui proses seterusnya di Mahkamah Tinggi.
“… yang sangat penting ialah berkenaan dengan elemen Mahkamah Rayuan mengatakan memang wujud.
“Ini tak ada isu dengan kesahan ini hanya isu tentang kewujudan. Kesahan ialah isu lain iaitu isu undang-undang tapi ini adalah isu kewujudan dan semua pihak yang terlibat dalam proses ni saya percaya akan dipanggil oleh mahkamah.
“Jadi saya nak minta ahli parti kita biarlah mahkamah membuat keputusan setelah semua fakta diterima oleh mahkamah daripada semua pihak,” ujar beliau.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online