Nahas KM204 Lebuhraya PLUS: Siasat Dan Ambil Tindakan Terhadap Syarikat Lori
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengucapkan takziah kepada waris tujuh ahli keluarga yang maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah bas persiaran, sebuah treler dan juga sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza malam tadi.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dengan perasaan hiba berkata nahas ngeri itu telah mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Melaka.
“Salam takziah kami ucapkan kepada waris tujuh ahli keluarga yang maut dalam kemalangan malam tadi. Satu kemalangan yang tragik dan amat memilukan… al-Fatihah.
“Kami memohon agar pihak berkuasa jalankan siasatan terperinci dan ambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang kecuaian.
“Pengajaran kepada syarikat-syarikat pengangkutan agar dapat memastikan lori-lori mereka dalam kondisi terbaik supaya tidak menjadi punca kemalangan maut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu media melapor kejadian kemalangan berpunca daripada tayar treler tercabut mengakibatkan bas hilang kawalan dan terbabas serta melibatkan dua buah kenderaan lain.
Siasatan awal mendapati mangsa yang terbunuh dalam kemalangan tersebut membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang bayi perempuan. – UMNO Online