Pelaku Pencemaran Perlu Tanggung Kos Pulih Sistem Bekalan Air Tindakan Tepat – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menyokong penuh hasrat Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) agar pihak yang melakukan pencemaran perlu membayar kos pemulihan sistem bekalan air terjejas akibat pencemaran.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata ini kerana sekiranya langkah tersebut tidak dilakukan, pemegang lesen terpaksa menanggung kerugian yang besar dan menyusahkan banyak pihak.

“Merujuk kepada pindaan Seksyen 121 iaitu untuk menjadikan suatu kesalahan jika terdapat mana-mana orang mencemarkan sumber air, sememangnya merupakan suatu tindakan yang tepat dan wajar.

“Peningkatan denda dan penalti bagi kesalahan pencemaran menggunakan bahan toksik dan ‘pencemaran lain’ juga seharusnya ditingkatkan sebagai langkah pencegahan. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian, apakah yang dimaksudkan dengan kesalahan-kesalahan ‘pencemaran lain’?

“Dan mengapakah hukuman sebatan tidak juga dikenakan terhadap pelaku kesalahan ‘pencemaran lain’ seperti mana pelaku kesalahan pencemaran bahan toksik?” katanya.

Mohd Isam berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan Rang Undang-undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.

Dalam pada itu beliau turut sama membangkitkan isu yang sering dihadapi oleh masyarakat di kawasan luar bandar, terutama rumah-rumah rakyat berkenaan tangki septik.

Beliau turut memaklumkan penghuni di rumah rakyat perlu berkongsi tangki septik yang sama dan perlu mengupah Indah Water Konsortium (IWK) untuk menyedut keluar atau mengosongkan tangki berkenaan bagi mengelakkan pencemaran.

Namun kata Mohd Isam masalah sering timbul apabila tangki berkenaan mulai penuh dan ketiadaan semangat kejiranan untuk berkongsi komitmen bagi mengupah IWK.

“Sekiranya pengosongan tangki tidak dilakukan sehingga berlakunya limpahan ke longkang atau alur air. Pindaan ini dikhuatiri bakal menjejaskan golongan tersebut kerana tindakan mungkin boleh diambil terhadap penghuni atau kejiranan di rumah rakyat tersebut.

“Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan petua dan penjelasan daripada Kementerian berhubung masalah ini. Adakah cadangan pindaan Seksyen 21 ini turut terpakai juga terhadap keadaan tersebut atau diberikan pengecualian atau bagaimana?

“Dan apakah inisiatif atau perkara yang boleh dilakukan oleh Kementerian untuk membantu orang-orang kampung yang sedang mendepani masalah tangki septik ini?

“Selain itu, banyak juga loji kumbahan Indah Water yang tidak mematuhi piawaian. Pemantauan perlu dibuat oleh agensi yang bertanggungjawab. Saya khuatir Indah Water juga bakal terkesan dengan pindaan kali ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit