Kerajaan Wajar Ambil Tindakan Tegas Dan Serius Dalam Kawal Data Sensitif – Shamshulkahar

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berpandangan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil tindakan tegas dan serius dalam mengawal data sensitif.

Menurut beliau ia penting bagi memastikan ia tidak mudah dibocorkan dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perkongsian Data 2024.

“Merujuk seksyen 5 iaitu keanggotaan Jawatankuasa Perkongsian Data Negara. Memandangkan simpanan data pada hari ini melibatkan teknologi canggih yang cepat berevolusi, adakah menteri boleh melantik ahli jawatankuasa tambahan atau penasihat teknikal dari kalangan pengamal atau pakar industri siber sekuriti?

“Manakala seksyen 12 memperuntukkan mana-mana agensi sektor awam boleh meminta data kepada agensi lain bagi tujuan perkongsian data dan agensi tersebut dianggap mempunyai kawalan data jika data itu berada dalam milikan atau jagaan agensi tersebut.

“Dari segi realiti, ramai pegawai mempunyai akses kepada data dalam sesuatu agensi kerana kita tidak menetapkan pegawai tertentu sahaja yang bertanggungjawab secara esklusif kepada maklumat data.

“Persoalan Jempol, adakah kerajaan bercadang untuk membuat perlantikan pegawai perlindungan data dalam agensi-agensi awam untuk memastikan mekanisme kawalan data yang lebih efektif dan berkesan?” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.

Shamshulkahar dalam pada itu turut sama merujuk peruntukan seksyen 23 yang menetapkan kesalahan melarang pegawai agensi sektor awam daripada menzahirkan apa-apa maklumat yang diperolehnya semasa melaksanakan kewajipannya dengan hukuman denda tidak melebihi satu juta ringgit atau pemenjaraan tidak melebihi lima tahun.

“Jempol melihat skop kesalahan ini adalah terlalu luas kerana melibatkan semua penjawat awam dan jenis maklumat juga tidak dikhususkan.

“Ini adalah tidak adil kepada penjawat awam kerana mereka semua berisiko dikenakan tindakan perundangan dalam menjalankan tugas. Jempol mohon maklumbalas menteri berkenaan skop pemakaian seksyen 23 ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit