Azalina Sokong Visi Perubahan Dibawa Pengerusi BN, Pemangkin Masa Depan Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong kepada visi perubahan yang diketengahkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucaptama sempena sambutan Jubli Emas parti semalam.

Katanya, Ahmad Zahid mengingatkan setiap ahli untuk terus melangkah ke hadapan dengan sikap berlapang dada menyedari kebenaran dan melepaskan diri daripada kepompong penafian.

“Justeru, kita perlu berpijak di bumi nyata dan BN tidak boleh lagi hidup atas kejayaan semalam. BN mesti menjadi pemangkin kepada perubahan zaman sebagai agen perubahan bagi melakar masa depan yang lebih baik,” katanya yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu beliau memetik ucaptamanya Ahmad Zahid yang telah menggariskan beberapa elemen penting perubahan yang perlu BN lakukan.

Jelasnya, pertama, keperluan mengenepikan ego kepartian untuk agenda yang lebih besar; kedua adalah meluaskan keterangkuman jaringan; ketiga, BN perlu beradaptasi kepada perubahan semasa; keempat BN mesti meneroka norma politik baharu untuk kekal relevan; dan yang paling penting kelima ialah BN perlu bijak mengurus keutamaan dalam usaha mengukuhkan parti.

Terdahulu, sambutan ulang tahun Barisan Nasional (BN) ke-50 yang telah berlangsung semalam berjalan dengan lancar dan berjaya menyemai semangat perjuangan jitu untuk terus membela nasib rakyat. Diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Merdeka meriah dengan pelbagai program yang diatur, melibatkan para pemimpin dan penyokong termasuklah dari generasi muda. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit