Walaupun Dicincang, BN Tetap Satu Keluarga – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 7 Dis –”We are not just a friend, we a family’. Kita bukan hanya sekadar kawan tetapi kita adalah sebuah keluarga dan itu yang paling penting,” pesan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau menegaskan, hubungan dalam BN lebih dari sekadar persahabatan tetapi ibarat keluarga yang tidak dapat dipisahkan walau dalam apa jua keadaan.
“Kawan datang dan pergi, hari ini kita berkawan mungkin esok tak berkawan. Hari ini kita musuh mungkin esok kita berkawan tetapi keluarga walau apa pun jua berlaku, walaupun dicincang sekalipun kita tetap sebuah keluarga iaitu BN.
“Dulu ramai yang tidak yakin dan ramai yang mengatakan bahawa BN dah mati. Ramai yang mengatakan BN bukan lagi pilihan orang muda. Kita kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dan 15 dengan begitu teruk sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Era Baharu Anak Muda BN di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Mengulas lanjut Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, sekiranya ada iltizam yang kuat dengan bawa gaya politik yang baharu dan betul, sudah pastinya BN mampu memberikan keberanian, kepercayaan semula pada rakyat terhadap BN.
“Dulu BN kalah di Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, anak-anak muda semuanya tidak sokong BN tetapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini dan anak-anak muda kekal setia serta bawa agenda perubahan dalam negara.
“Baru-baru ini BN dapat merampas kembali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota pada PRK dan menang keseluruhan orang muda,” katanya.
Seterusnya kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka menambah, perubahan dalam arena politik ini harus dimulakan dengan generasi era baharu orang muda dalam BN dan jangan hanya tergantung pada kepimpinan BN saja.
“Semuanya itu bukan hanya tergantung pada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi perubahan dalam arena politik ini mesti dimulakan dibawah generasi dan era baharu orang muda dalam BN.
“Kita tidak ada masa lagi, perubahan itu mesti datang dari kita. Ini zaman kita dengan cara kita,” ujarnya. – UMNO Online