Piagam Setengah Abad Barisan Nasional

MENDASARI perjuangan setengah abad Barisan Nasional, atas semangat meneruskan perjuangan dan menakhoda negara bangsa, sesungguhnya kami yang berhimpun hari ini bermuafakat, bersolidariti, dan bersatu hati bagi meneruskan agenda politik kerjasama, memelihara kestabilan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan melalui:
1. MEMPERKUKUH KESTABILAN POLITIK:
Membina asas kepimpinan dan pentadbiran yang inklusif, telus, dan teguh, bagi memastikan keharmonian dan kestabilan politik terus terpelihara. Barisan Nasional beriltizam untuk terus berjuang demi menatang perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi nadi utama kesejahteraan rakyat.

2. MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA:
Menggerakkan agenda ekonomi yang progresif dan mampan, mencipta peluang baharu melalui inovasi teknologi terkini dan pelaburan untuk kesejahteraan generasi kini dan masa depan.

3. MEMBANGUNKAN PENDIDIKAN BERTERASKAN KALIS MASA DEPAN:
Merintis pembaharuan dalam sistem pendidikan melalui pemerkasaan TVET dan teknologi masa depan seiring Revolusi Industri 4.0 sambil tidak melupakan asas kenegaraan Malaysia, membina nilai dan akhlak serta memelihara martabat manusia.

4. MEMBINA MASYARAKAT BERINTEGRITI DAN BERAKHLAK MULIA:
Memupuk nilai-nilai murni serta membina sebuah masyarakat yang berakhlak tinggi, empati, bersahsiah, berjati diri dan berintegriti, meneguhkan nilai sosial yang menjadi teras perpaduan dan kesepakatan antara semua lapisan masyarakat.

5. MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN:
Melindungi dan mempertahankan prinsip-prinsip perlembagaan dan berdiri teguh dalam menjamin setiap rakyat Malaysia dapat hidup harmoni berasaskan prinsip faham, hormat dan terima bagi mengekalkan kestabilan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan.

6. PELUANG YANG INKLUSIF DAN PROGRESIF UNTUK WANITA, OKU DAN GOLONGAN MUDA:
Menegaskan komitmen untuk mewujudkan ruang, akses, peluang yang lebih inklusif dan progresif bagi meningkatkan kesejahteraan wanita, golongan muda dan OKU menerusi dasar-dasar yang lebih mesra, cakna, prihatin dan terangkum.

Maka, Barisan Nasional beriltizam untuk melakar masa depan yang cemerlang, gemilang, dan aman makmur dengan tekad khidmat dan bakti kerja serta wawasan yang menyeluruh, dedikasi serta kukuh demi masa depan rakyat Malaysia dan tanah air tercinta.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.