Ahmad Zahid Lepas Sukarelawan Skuad Misi Banjir BN, Fokus Ringankan Beban Mangsa

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini telah merasmikan pelepasan sukarelawan skuad misi banjir di perkarangan Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTCKL).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa usaha membantu mangsa banjir adalah keutamaan, terutama dalam memulihkan kawasan yang terjejas.

“Saya harap dengan misi bantuan yang diberikan oleh BN di seluruh negara ini ianya dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir terutamanya dari segi penyucian kawasan-kawasan yang terlibat.

“Sebagaimana berlaku gelombang pertama di mana mangsa banjir keseluruhannya secara komulatif seramai 220,000 orang, ketika kemuncak pada 1 Disember 153,000 mangsa banjir ditempatkan Pusat Pemindahan Sementera (PPS) dan lebih daripada 45,000 keluarga yang terlibat,” katanya kepada media di sini.

Tambah Ahmad Zahid juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), usaha sedang giat dilaksanakan bagi membaik pulih di kawasan yang terjejas teruk.

“… dan insya-Allah KKDW akan melakukan usaha-usaha baik pulih dikawasan berkenaan apatahlagi ada kawasan-kawasan dan rumah-rumah yang dihanyut air dan sebagainya. Insya Allah kita akan bina baharu dan telah memulakan ditempat-temapt dan negeri-negeri tertentu,” katanya lagi.

Terdahulu banjir melibatkan tujuh buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

Info dari portal Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 211 PPS masih beroperasi di tujuh buah negeri yang terjejas membabitkan 18,561 keluarga. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit