Kerajaan Komited Perkasa Pembangunan PKMS Menerusi Belanjawan 2025 – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kerajaan terus komited untuk memperkasa pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi pengumuman Belanjawan 2025 yang memperuntukan sebanyak RM40 bilion melalui pelbagai kemudahan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa terdapat 325 inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan berjumlah RM33.8.
“Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang keempat sejak Sekretariat ini ditubuhkan pada Mac 2024.
“Mesyuarat telah dimaklumkan sebanyak 325 inisiatif program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan berjumlah RM33.8 bilion untuk memanfaatkan lebih daripada 578,000 PMKS. Program tersebut sedang dilaksanakan oleh 14 Kementerian, lebih 50 Agensi dan 13 Kerajaan Negeri.
“Terdapat pertambahan sebanyak 26 peratus dalam jumlah bilangan program dan peningkatan sebanyak 118 peratus pada jumlah peruntukan yang dilaporkan untuk tahun 2024 berbanding pelaporan pada tahun 2023 iaitu dengan 258 program dan jumlah dana sebanyak RM15.48 bilion,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa SME Corp Malaysia telah berjaya melaksanakan sebanyak 52 Sesi Libat Urus (SLU) merentasi kementerian, kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun ini.
“Mesyuarat menerusi Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy juga juga telah maklumkan mengenai peningkatan pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2024. SME Corp Malaysia telah menzahirkan dukungan untuk memperkukuh pemantauan dan penyelarasan pelaksanaannya.
“Untuk itu, SME Corp Malaysia telah berjaya melaksanakan sebanyak 52 SLU merentasi kementerian, kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun ini. Berdasarkan status terkini, Pelaporan SMEIPA 2024 berjaya mencapai pelaporan penuh buat pertama kali.
“SMEIPA merupakan pelaporan untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai kementerian serta agensi. Pemantauan program melalui SMEIPA adalah dengan menilai pencapaian program pada tahun sebelumnya serta program yang dirancang pada tahun semasa,” katanya lagi.
Menurutnya, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Sesi Sumbang Saran (brainstorming) berkenaan penskalaan PMKS yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Kerajaan terus komited memperkasa pembangunan PMKS dan ia dibuktikan menerusi pengumuman Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM40 bilion melalui kemudahan pinjaman, geran serta jaminan pembiayaan perniagaan serta pembangunan kapasiti di bawah agensi Kerajaan kepada usahawan dan PMKS.
“Mesyuarat hari ini juga telah dimaklumkan mengenai Sesi Sumbang Saran (brainstorming) berkenaan penskalaan PMKS. KUSKOP selaku kementerian peneraju dalam pembangunan usahawan dan PMKS akan melaksanakan Sesi Brainstorming bagi mengenalpasti faktor utama yang menyokong dan mempercepat transformasi PMKS.
“Dapatan dari Sesi Brainstorming ini akan dijadikan sebagai rangka kerja utama dalam melakar strategi pembangunan PMKS bagi tempoh RMKe-13 (2026 – 2030). Sasarannya, ke arah mencapai dua sasaran utama iaitu peningkatan bilangan firma bersaiz sederhana daripada 1.8 peratus pada tahun 2023 kepada 5 peratus dalam tempoh dua tahun (2026- 2027) dan penciptaan sekurang-kurangnya satu ‘unicorn’ Malaysia dalam tempoh RMKe-13,” katanya lagi. – UMNO Online