Salleh Diumum Sebagai Calon UMNO/BN DUN Usukan PRN Sabah Akan Datang
KOTA BELUD, 11 Nov – Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Usukan, Datuk Seri Salleh Said telah diumumkan sebagai calon UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ketika merasmikan Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan DUN Usukan kelmarin.
Salleh, yang juga Bendahari UMNO Sabah, merupakan calon kedua yang diumumkan oleh UMNO/BN untuk bertanding dalam PRN kali ini. Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, turut diumumkan sebagai calon untuk DUN Tanjung Keramat.
Menurut Bung Moktar, pemilihan Salleh sebagai calon UMNO/BN untuk DUN Usukan adalah berdasarkan kriteria yang diperlukan serta memenuhi aspirasi rakyat di kawasan tersebut yang mahu Salleh terus kekal menerajui DUN Usukan.
“Salleh telah banyak menaburkan bakti dan memberikan sumbangan besar kepada parti dan rakyat, khususnya di kawasan Usukan. Pemilihan beliau bukan sahaja memenuhi kriteria yang diperlukan, tetapi juga merupakan pilihan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Bung Moktar juga mengingatkan bahawa DUN Usukan adalah kawasan pertama yang melahirkan UMNO di Sabah melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei 1991, apabila Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun memenangi kerusi tersebut.
“Sebagai kawasan pertama yang melahirkan UMNO di Sabah, rakyat Usukan perlu bangkit untuk mengembalikan momentum tersebut, bukan sahaja untuk mempertahankan DUN Usukan dalam PRN akan datang, tetapi juga untuk mengembalikan maruah DUN Tempasuk yang sebelum ini merupakan kerusi UMNO,” ujar Bung.
Bung turut menyeru agar rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO di DUN Usukan, bersatu dan bekerja dalam satu pasukan untuk memastikan kemenangan BN dalam PRN yang akan datang.
Menurut beliau, hanya dengan kerja keras dan strategi yang tepat, BN dapat mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
“Hampir lima tahun kerajaan yang ada pada hari ini mentadbir Sabah, namun kegagalan demi kegagalan terus menghantui rakyat, terutamanya dalam penyediaan infrastruktur asas dan mengatasi masalah kemiskinan yang membelenggu kehidupan rakyat,” tambahnya.
Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa kerajaan sekarang enggan mengakui kegagalan mereka, sebaliknya terus menyalahkan pihak lain, termasuk BN.
Beliau mengingatkan bahawa mereka juga pernah menjadi sebahagian daripada UMNO/BN dan merasai manfaat daripada kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab.
“PRN kali ini adalah peluang terbaik bagi rakyat Sabah untuk membuat pilihan yang bijak. Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan slogan-slogan kosong yang hanya gah di bibir tetapi tidak dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah untuk memberikan mandat kepada BN dalam PRN yang akan datang, demi mengembalikan kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih baik. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Wahid