PRN Sabah Ke-17: ‘Makmal’ Kerjasama BN-PH… Jangan Kelirukan Dengan ‘Tikus Makmal’ – Sharif Musa

LAHAD DATU, 11 Nov – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul membidas pihak yang cuba mengelirukan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) sebagai eksperimen atau ‘tikus makmal’.

Tegasnya yang juga Setiausaha Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Negeri kenyataan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bakal berlangsung akan menjadi ‘makmal’ telah disalahertikan.

Dilaporkan sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PRN17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama di antara PH dan BN malah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Sharif Musa berkata, kerjasama antara PH dan BN bukan sahaja penting untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi juga sebagai langkah untuk menjamin kestabilan politik, khususnya di negeri Sabah.

Menurutnya, PRN ke-17 ini akan memberikan ruang kepada gabungan parti untuk membuktikan komitmen mereka terhadap prinsip berkongsi kuasa yang adil di kalangan pelbagai kaum, sambil memastikan kemajuan untuk rakyat Sabah.

“Makmal PRN ini berpegang kepada prinsip berkongsi kuasa bersama rakan-rakan gabungan daripada pelbagai kaum, di mana kita perlu memastikan tidak ada pihak yang tertinggal atau terpinggir dalam arus pembangunan. Banyak yang telah terlupa tentang prestasi sebenar Barisan Nasional dalam dua pilihan raya negeri yang lepas, di mana banyak wakil rakyat yang berubah parti sewenang-wenangnya, menjadi ‘katak politik’ bukannya ‘tikus politik’ yang berprinsip,” ujarnya.

Beliau menambah, makmal ini juga tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang berkait dengan kepentingan mana-mana parti atau pihak tertentu sahaja, tetapi lebih kepada usaha untuk mengembalikan kehormatan dan kestabilan politik yang dapat menguntungkan rakyat Sabah.

“Makmal PRN ini bukanlah untuk menguji mana-mana parti, tetapi lebih kepada bagaimana kita menghormati dan memperjuangkan hak rakyat Sabah, tanpa perlu terikat dengan kepentingan politik jangka pendek. Lebih penting, ia adalah usaha untuk membetulkan ketidakadilan yang berlaku dalam gabungan politik, di mana rakyat Sabah sering kali menjadi mangsa tindakan pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan korporat dan elit politik,” jelas Sharif Musa.

Tambah beliau, PRN ke-17 ini juga bertujuan untuk menghasilkan masyarakat Sabah yang lebih inovatif dan berfikiran teknikal dalam mencari penyelesaian terhadap masalah asas yang dihadapi rakyat negeri tersebut, terutamanya isu berkaitan bekalan air, elektrik, infrastruktur jalan, dan ekonomi rakyat.

“Rakyat Sabah harus didorong untuk berfikir secara lebih inovatif dalam menangani isu-isu besar yang mereka hadapi. Kita tidak boleh hanya terus berharap kepada penyelesaian dari luar, tetapi perlu ada inisiatif daripada rakyat Sabah sendiri untuk membangun dan memperbaiki keadaan mereka,” katanya.

Sharif Musa menekankan bahawa PRN ini akan menjadi platform untuk mengumpulkan suara-suara pemimpin BN-PH Sabah, yang menjadi asas kepada visi negara. Visi ini, katanya, harus dibangunkan secara bottom-up, iaitu dari akar umbi, dan bukannya sekadar keputusan atau arahan dari pihak atas (top-down).

“Makmal PRN ini juga memberi ruang kepada kepimpinan berfikir atau thought leadership dalam mempersiapkan strategi terbaik menjelang PRU akan datang. Kami mahu memastikan bahawa kestabilan politik yang kita bina melalui gabungan ini akan memberi manfaat kepada semua rakyat, terutamanya rakyat Sabah yang seringkali terpinggir daripada arus pembangunan negara,” ujar beliau.

Dengan pelbagai cabaran politik yang semakin kompleks, Sharif Musa percaya bahawa kerjasama antara BN dan PH dalam PRN Sabah ke-17 adalah satu langkah penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan adil untuk semua lapisan masyarakat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit