Gelombang Biru Di DUN Liawan Dan Pantai Manis Isyarat BN Sabah Sedia Hadapi PRN Ke-17

PAPAR, 11 Nov – Himpunan ‘Gelombang Biru’ dengan kehadiran yang amat memberangsangkan pada setiap program Gerak17 UMNO Sabah, memberikan isyarat jentera Barisan Nasional (BN) Sabah sedia menggalas tanggungjawab menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang seterusnya menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kehadiran penyokong BN hampir 3,000 orang dalam program Gerak 17 UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Pantai Manis, Papar dan hampir 2,500 orang di DUN N.41 Liawan, Keningau semalam, memberikan gambaran semangat jentera parti itu kini berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Bukan sahaja di Papar dan Keningau, malah di beberapa program Gerak17 UMNO Sabah yang telah pun kita laksanakan sambutannya di luar jangkaan, di mana setakat ini sudah 14 kawasan DUN telah kita lancarkan dan lebih 20 kawasan DUN lagi akan kita lancarkan selepas ini dan dijangka berakhir sebelum penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan DUN N.29 Pantai Manis di Dewan Datuk Salleh Sulung pada petang Ahad.

Menurut Bung, dengan kehadiran serta semangat penyokong BN yang hadir pada program kali ini, Parlimen Papar yang diwakili UMNO/BN sebelum ini perlu diambil semula dalam PRN akan datang setelah mereka yang diberikan peluang atas tiket BN sebelum ini mengkhianati perjuangan parti dan sokongan rakyat di kawasan tersebut.

“Tidak setakat itu, pengorbanan kita (UMNO/BN) baik semasa menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan PRN ke-16 menyokong calon lain atas prinsip gabungan tidak dihormati, dihargai malah turut dinafikan sumbangan besar UMNO/BN kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN ke-16,” katanya.

Justeru kata Bung, PRN ke-17 rakyat khususnya di kawasan Parlimen Papar yang melibatkan DUN Kawang dan Pantai Manis perlu bersatu untuk menolak sebuah kerajaan yang gagal membawa kestabilan politik dan pembangunan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, Bung yang juga Ketua UMNO Sabah turut menekankan semangat yang ditunjukkan ini perlu disertai dengan strategi dan pendekatan yang efisien dan tersusun rapi bagi memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memilih BN sebagai pilihan utama dalam PRN akan datang.

“Dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli dan jentera UMNO/BN, pendekatan serta kesiapsiagaan seluruh jentera parti bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri cawangan-cawangan dan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) saya yakin rakyat akan menerima dan menyokong perjuangan BN dalam PRN kali ini,” katanya.

Tambah Bung, tujuan program Gerak17 UMNO Sabah adalah untuk meninjau dan mengingatkan agar jentera-jentera UMNO/BN di peringkat akar umbi agar memperkemaskan kini seluruh jentera yang ada.

“Dari gerak kerja dalam Gerak17 UMNO Sabah yang telah kita laksanakan, peluang dan penerimaan rakyat kepada UMNO/BN amat positif. Bagaimanapun, sebagai mana yang saya tekankan, pendekatan serta strategi yang tepat amat penting untuk mencapai kejayaan,” tambah Bung.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua UMNO Papar, Datuk Jamal Nerubi; Timbalan Ketua UMNO Papar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Tamin Zainal dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.