Kerjasama Komuniti Fokus Kebersihan Untuk Kesejahteraan Persekitaran – Haryaty

MELAKA, 25 Okt – Kesejahteraan masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada faktor kesihatan dan kebersihan lantas program-program yang memfokuskan kepada pemeliharaan kebersihan persekitaran menjadi sangat penting, terutama di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk wabak penyakit seperti denggi.

Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah menekankan pentingnya kerjasama komuniti dalam menangani isu denggi dengan melaksanakan usaha bersama melalui program tempatan.


“Kita perlu bersatu untuk memastikan kawasan kita bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. Tindakan bersama adalah kunci untuk melindungi kesihatan kita semua,” katanya.

Terbaharu, Taman Seri Duyong 2 menjadi tumpuan apabila Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes diadakan baru-baru ini yang dianjurkan oleh Unit Kerajaan Tempatan Melaka dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Melaka dan sokongan daripada Pihak Berkuasa Tempatan serta organisasi lain.

Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dengan kehadiran Exco Kesihatan, Datuk Ngwe Hee Sem dan Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Ujar Haryaty, program ini diadakan sebagai respon terhadap penilaian risiko yang menunjukkan Taman Seri Duyong 2 merupakan kawasan berisiko tinggi untuk wabak denggi apabila laporan sehingga September 2024, terdapat 12 kes denggi dicatatkan, dengan punca utama adalah tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Program ini merupakan usaha berterusan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan komuniti, dan aktiviti gotong royong akan dilaksanakan secara berkala.”

Maklumnya, dalam usaha membendung masalah ini, jawatankuasa sukarelawan COMBI (Communication for Behavioral Impact) juga ditubuhkan yang diketuai oleh Noor Azlan Yusof.

“Jawatankuasa ini akan berperanan penting dalam menggalakkan kesedaran dan tindakan pencegahan di kalangan penduduk.

“Melalui kerjasama dan komitmen bersama, kita dapat memastikan komuniti yang lebih sihat dan selamat untuk semua. Mari kita semua mengambil tindakan untuk menjadikan kebersihan dan kesihatan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa statistik menunjukkan Melaka mencatatkan 1,847 kes denggi sehingga minggu epidemiologi ke-41, peningkatan sebanyak 101.42% berbanding tahun lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.