Lawatan Kerja: Erat Kerjasama Malaysia-Thailand Dalam Bidang Perundangan – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah bertemu Menteri Keadilan Thailand, TYT Tawee Sodsong untuk mengeratkan kerjasama Malaysia-Thailand dalam bidang perundangan kedua-dua negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO telah menyampaikan jemputan kepada TYT Tawee Sodsong untuk menghadiri KL Forum 2024.

“Saya telah bertemu dengan rakan sejawatan saya, Menteri Keadilan Thailand, TYT Tawee Sodsong dalam rangka lawatan kerja sehari saya di Bangkok, Thailand.

“Dalam pertemuan tersebut, kami telah berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan dengan mempererat kerjasama Malaysia-Thailand terutamanya dalam bidang perundangan di antara kedua-dua negara.

“Seiring dengan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, saya juga telah menyampaikan jemputan kepada beliau untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri KL Forum 2024 yang bakal diadakan pada 13 November 2024,” katanya.

Jelasnya, forum tersebut bakal mengumpulkan pakar-pakar perundangan dalam bidang timbang tara seluruh ASEAN.

“Forum ini bertujuan untuk mengumpulkan pakar-pakar perundangan dalam bidang timbang tara seluruh ASEAN bagi membentuk kerjasama dalam bidang tersebut.

“Saya juga turut mempersilakan beliau ke Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN yang akan dihoskan di Malaysia tahun hadapan.

“Turut serta dalam pertemuan ini adalah Duta Malaysia ke Thailand, TYT Datuk Jojie Samuel, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Dr Punitha Silivarajoo dan pegawai- pegawai kanan BHEUU,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.