DSN 2030 Bukti Komitmen Kerajaan Bina Negara Sejahtera, Inklusif – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Dasar Sosial Negara 2030 (DSN 2030) yang diluncurkan hari ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang lebih sejahtera, inklusif dan progresif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, DSN 2030 yang merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, akan menetapkan hala tuju sosial negara serta mengenal pasti dan menyelesaikan isu sosial secara holistik.
“Insya-ALLAH, jika pelaksanaan dasar disulami langkah penguatkuasaan dapat dilakukan secara sempurna, saya percaya ia membawa Malaysia mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah tidak lama lagi,” katanya pada majlis peluncuran DSN 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina, Sidek turut hadir. – Bernama