Belanjawan 2025 Belanjawan Menyeluruh, Ambil Kira Pelbagai Aspek – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Belanjawan 2025 dilihat bajet Madani yang menggambarkan sebuah kerajaan prihatin serta mengambil kira pelbagai aspek untuk kepentingan pembangunan negara secara menyeluruh selain kepentingan rakyat.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelbagai cabang keperluan yang diberikan penekanan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini memberikan satu gambaran yang cukup baik dan perlu disahut dengan sebaiknya dalam usaha menjayakan segala perancangan berkenaan.
Menurut beliau tumpuan dalam pendidikan tinggi sebagai contoh selain teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sokongan menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah dan lain-lain adalah antara penumpuan Belanjawan 2025.
“Bajet pada kali ini adalah bajet yang menggambarkan sebuah Kerajaan Madani yang melihat semua sudut keperluan dan juga satu perancangan jangka panjang yang perlu dilakukan untuk mengembangkan negara kita… dan ini termasuk juga dalam konteks pendidikan tinggi.
“Ia telah memberikan satu gambaran yang baik dan juga dari segi peruntukan yang diberikan bagi memenuhi matlamat yang telah pun disusun. Ini termasuk dalam bidang-bidang teknologi, TVET, AI dan sebagainya… dan ini dilihat satu bajet yang diperhalusi dengan betul-betul baik sekali.
“Kami harapkan dengan adanya bajet ini, akan memberi rangsangan kepada ekonomi negara dan juga dapat membuat pembelaan kepada masyarakat khususnya kalangan B40, M40 dan lain-lain golongan… bagaimana susunan-susunan dibuat dan juga penerimaan, pengumuman, bantuan-bantuan dan juga potensi-potensi yang diumumkan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada UMNO-Online.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM421 bilion, terbesar dalam sejarah negara.
Dr Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut seterusnya menegaskan pelbagai tanggapan oleh pihak-pihak tertentu berkenaan Belanjawan 2025 adalah satu tanggapan yang tidak melihat secara menyeluruh.
“Kalau ditanya kepada pihak tertentu, mereka akan ada saja tanggapan. Namun saya yakin kalau dilihat secara keseluruhan ini, maksudnya dianalisa dengan sebaik-baiknya tanpa ada bias yang keterlaluan maka kita akan melihat bahawa bajet ini adalah bajet yang baik. Kerana ia merangkumi segalanya,” ujarnya.- UMNO Online