Kita Mainkan Peranan Masing-masing, Tangkis Isu Yang Timbul – Dr Zambry

LUMUT, 19 Okt – Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap semua peringkat kepimpinan memainkan peranan masing-masing dalam usaha memastikan sebarang isu yang timbul dapat ditangkis sebaiknya.

Berucap pada Program Jelajah Penerangan UMNO di bahagian Lumut pagi tadi, beliau menegaskan langkah berkenaan amat penting dengan menggunakan pelbagai medium terkini bagi memastikan matlamat penyampaian sampai kepada sasaran sebenar.

“Pendekatan kita perlu disesuaikan dengan ‘trend’ baru seperti podcast. Kita harap pelbagai peringkat termasuklah Penerangan UMNO dapat memainkan peranan sebaiknya terutama isu setempat termasuklah berkaitan anak muda. Kita ceritakan benda betul kepada rakyat.

“Perlu diingat… kadangkala terdapat pihak tertentu menggunakan ‘tiktok’ untuk memaparkan benda-benda yang tidak betul…hanya beberapa minit yang dipotong namun orang akan tengok macam cerita benda betul,” katanya.

Jelajah Penerangan UMNO hari ini berada di Perak dan UMNO Lumut menjadi lokasi seterusnya dengan pelbagai penerangan daripada Ahli Majli Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. Turut serta Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din serta pimpinan setempat lain.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tentunya penuh dengan pelbagai cabaran khususnya aspek kempen.

“Kita sama-sama kembangkan pendekatan penerangan sebaiknya di pelbagai peringkat. Jika timbul sesuatu isu minta panduan sebaiknya untuk jawab segala yang ditaburkan oleh mereka yang berkepentingan,” ujarnya.

Ujar beliau lagi begitu juga soal di negeri Perak yang cuba dimomokkan dengan pelbagai cerita yang tidak benar dan pelbagai manipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan sesekali berada dalam keadaan selesa. UMNO kena kuat… ada cubaan daripada puak tertentu yang cuba rungkaikan UMNO/ BN Perak dengan pelbagai alasan, kita perlu atasi  cerita-cerita sebegin.

“Kita sama-sama turun ke bawah… kita ceritakan perkara sebenar dan kita yang berada di kawasan, cawangan perkukuhkan dan janganlah terbawa-bawa dengan pelbagai perasaan,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.