Belanjawan 2025 Inklusif Meliputi Semua Lapisan Masyarakat – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Wanita UMNO merakamkan penghargaan kepada kerajaan terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2025 yang inklusif meliputi semua lapisan masyarakat.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk menyeimbangkan antara ekonomi modal dengan ekonomi rakyat seperti mana yang diharapkan di dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 pada Ogos lalu.

“Inisiatif seperti penyediaan program latihan kemahiran kepada wanita di bawah Returnship anjuran BNM dan SC, sokongan RM650 juta untuk usahawan wanita, i-TEKAD, Skim Transformasi Digitalisasi Industri adalah langkah yang sangat tepat dalam pembangunan sosioekonomi rakyat terutamanya wanita.

“Wanita UMNO Malaysia juga menyambut baik usaha-usaha memperkasakan kepimpinan wanita melalui Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) dan penggalakan penyertaan wanita dalam semua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

“Selain daripada itu, Kerajaan juga dilihat tidak sekadar memberi bantuan jangka pendek seperti peningkatan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan tunai daripada Jabatan Kabajikan Masyarakat (JKM).

“… tetapi cuba membawa rakyat keluar terus dari kitaran kemiskinan melalui kemahiran dengan meningkatkan peruntukan TVET kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau dengan adanya peningkatan peruntukan ini, ianya bukan sahaja dapat
meningkatkan bilangan pelajar TVET termasuk anak-anak huffaz.

Bahkan katanya tetapi ia juga dapat menarik pelaburan dalam infrastruktur baru, seperti pembinaan atau penambahbaikan pusat latihan TVET bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk memenuhi keperluan ekonomi negara.

Dalam pada itu Wanita UMNO juga menyambut baik usaha Kerajaan menawarkan pembiayaan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di dalam industri halal melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank dengan dana tersedia hampir 600 juta ringgit.

Menurut beliau industri halal ini bukan terhad kepada makanan halal sahaja tetapi juga meliputi pelbagai sektor lain seperti kosmetik, farmaseutikal, logistik, pelancongan, kewangan, dan banyak lagi.

“Dengan peluang yang diberikan kepada PMKS untuk meneroka industri yang diunjurkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030 ini, pastinya mereka dapat memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“PMKS, pertanian skala kecil, ekonomi informal inilah nadi yang menggerakkan sebahagian besar kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.