Belanjawan 2025: Peruntukan RM60 Juta Tingkat Akses Rakyat Kepada Keadilan – Azalina

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Peruntukan lebih RM60 juta yang disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman akan meningkatkan akses rakyat bagi mendapatkan keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah yang menyokong agenda digital itu, selaras dengan usaha memperkasakan institusi kehakiman sebagai badan bebas.

Mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini, Azalina berkata peruntukan RM209 juta kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berbanding RM194 juta tahun lepas, menunjukkan usaha berterusan agenda reformasi institusi dan perundangan oleh kerajaan MADANI dalam menyokong pembangunan ekonomi dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

“Tambahan lagi, komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memelihara kebebasan Institusi Parlimen dibuktikan dengan peningkatan peruntukan Parlimen kepada RM180 juta ringgit, pertambahan daripada RM166 juta ringgit pada 2024.

“Sebahagian peruntukan tersebut adalah untuk memperkasakan peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang,” kata Azalina dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi perhatian kepada keperluan sektor perundangan dan reformasi institusi itu, termasuk inisiatif menggubal Rang Undang- Undang Keselamatan Dalam Talian yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, bagi mengekang trend buli siber yang semakin membimbangkan.

“Ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan dipertanggungjawabkan dalam meningkatkan tahap keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Malah, pada tahun ini Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah telah dipinda, bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket jenayah dalam talian yang menggunakan akaun keldai,” kata Azalina.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata agenda reformasi perundangan turut diteruskan kerajaan MADAN, dengan pembentukan Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui kajian dan pengemaskinian lebih 3,000 undang-undang lapuk, khususnya undang-undang komersial supaya seiring dengan peredaran zaman.

Dalam pada itu, Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan pada 2023 juga diteruskan kepada syarikat- syarikat yang telah dibankrapkan pada 2025.

“Semenjak diperkenalkan pada 2023, dasar yang berteraskan kepada nilai ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI telah beri manfaat kepada bukan sahaja lebih 170 ribu rakyat yang disytihar bankrap, malah juga kepada keluarga mereka untuk membina semula kehidupan,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.