Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dirangka dengan teliti dan terangkum menyeluruh berpandukan visi Kerangka Ekonomi Madani, bagi mempercepatkan reformasi ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara inklusif.

Katanya yang juga Presiden UMNO, belanjawan ini mencerminkan komitmen kukuh serta kesungguhan Kerajaan Madani dalam membina negara yang berdaya tahan.

“Tumpuan utama diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi, selaras dengan hasrat untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus kemajuan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sebelum itu beliau telah menghadiri sesi pembentangan Belanjawan 2025 yang mempunyai peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menzahirkan penghargaan kepada Anwar.

“Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih buat YAB Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM11.96 bilion kepada KKDW menyaksikan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51% berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah ini, RM4.47 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.49 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh agenda Desa Madani dan seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh 8.1 juta penduduk desa.

“Kerajaan turut meningkatkan peruntukan kepada FELDA, FELCRA, dan RISDA kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya – membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian dan komuniti perdesaan.”

Ujarnya, sebagi Pengerusi Majlis TVET Negara, peruntukan tambahan kepada RM7.5 bilion daripada RM6.8 bilion adalah bukti komitmen Kerajaan bagi memperkasa ekosistem TVET khususnya dalam menjalinkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang kepada belia, komuniti pedalaman, dan Orang Asli.

“Masyarakat Orang Asli juga terus diberi perhatian di bawah Belanjawan MADANI, dengan peruntukan meningkat kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun lalu.

“Usaha ini merangkumi projek pembangunan semula ladang Orang Asli serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Ujar Ahmad Zahid, dalam usaha menghadapi cabaran bencana, hampir RM600 juta diperuntukkan kerajaan kepada NADMA untuk persediaan menghadapi banjir.

“Daripada jumlah ini, lebih RM300 juta telah diperuntukkan untuk tindakan segera sekiranya berlaku bencana. Tambahan lagi, Kerajaan telah menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta dan merancang 12 lagi projek RTB dengan kos RM3 bilion.

“Selain itu, bagi menyokong sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, RM550 juta disediakan untuk mempromosikan destinasi pelancongan.

“RM600 juta turut diperuntukkan bagi memelihara warisan budaya dengan menyalurkan RM600 juta bagi memulih dan memulihkan bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.”

Jelasnya, melalui perancangan dan komitmen yang jelas dan terangkum, Belanjawan 2025 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Peruntukan yang diberikan kepada KKDW, agensi-agensi di bawahnya dan bidang di bawah kebertanggungjawaban saya akan digunakan sebaiknya untuk memperkukuh pembangunan luar bandar dan memakmurkan kehidupan rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.