Skim Geran Penuh Tanam Semula Penting Untuk Ringankan Beban Pekebun Sawit – Mohd Isam
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar dapat mengembalikan skim tanam semula terutamanya pekebun-pekebun kecil sawit dengan berbentuk geran penuh.
Ini kerana katanya, dengan adanya geran penuh seperti yang pernah diadakan pada era Barisan Nasional (BN), sudah pasti ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil sawit.
“Selaku orang kampung yang mewakili orang-orang kampung dan di kawasan luar bandar. Saya mohon dan merayu agar kerajaan mengembalikan skim tanam semula pekebun kecil sawit kepada 100 peratus berbentuk geran penuh seperti di zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Masyarakat luar bandar memohon agar Kerajaan Perpaduan dapat merealisasikan permohonan geran skim insentif berbanding 50 peratus pinjaman ketika ini.
“Sekiranya geran penuh ini diadakan kembali sekaligus ia dapat merancakkan semula produktiviti dalam kalangan pekebun kecil sawit serta merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin menjelaskan geran ini penting kerana ia membantu pekebun kecil menghadapi cabaran kewangan.
“Insentif geran ini cukup penting bagi mereka dalam mengurus ladang, meningkatkan produktiviti, serta menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar. Dengan kenaikan kos baja, racun dan buruh, geran ini dilihat mampu meringankan beban pekebun kecil yang bergantung kepada hasil kelapa sawit untuk menyara kehidupan.
“Tanpa sokongan penuh, pekebun kecil bimbang akan kurang berupaya untuk bersaing di pasaran, sekaligus menjejaskan sumber pendapatan mereka dan sektor ekonomi sawit secara keseluruhan.
“Selain itu, geran ini juga penting dalam usaha meningkatkan ‘standard’ kelestarian industri sawit di Malaysia, terutama dalam memenuhi syarat kelestarian antarabangsa,” katanya lagi.
Isam turut harapkan agar kerajaan mengambil serius segala cadangan berkenaan dan benar-benar bermanfaat bagi memastikan kebajikan pekebun-pekebun kecil terjaga dan bukannya menambah beban mereka.
Untuk rekod, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengumumkan geran tanam semula yang selama ini diterima oleh pekebun kecil persendirian dan juga dipanjangkan kepada peneroka FELDA.
Ia melalui fasa tanam semula pada tahun 2017 hingga 2020 dengan dana khas berjumlah RM166.60 juta kadar RM7,500 sehektar untuk keluasan berjumlah 24,280 hektar. – UMNO Online