Bajet 2025: Kestabilan Politik Bawa Keyakinan Kepada Pelabur Asing Terhadap Negara – Jailani

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari berkata Bajet 2025 pada kali ini sudah tentunya tertumpu untuk memperkukuh ekonomi negara terutamanya menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut beliau di tambah dengan kelebihan dimiliki negara dalam mengecapi kestabilan politik, sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Mengulas berkenaan Bajet 2025, Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berharap kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi untuk memperkukuh prasarana jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu terus memperkukuh prasarana jalur lebar berkelajuan tinggi dan rangkaian telekomunikasi 5G di seluruh negara.

“Ini termasuklah di kawasan pedalaman bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” katanya ketika dihubungi UMNO Online

Katanya lagi, inisiatif pendigitalan ini penting bagi mewujudkan ekosistem yang dapat menyokong ekonomi gig.

Tambahnya ia sekaligus dapat menggalakkan rakyat memanfaatkan platform digital dalam memperoleh pendapatan mereka menerusi e-hailing dan p-hailing.

Sementara Jailani turut berharap kerajaan untuk menaik taraf jaringan internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini kerana katanya melalui akses internet yang lebih luas memberikan kemudahan kepada pelajar dalam pendedahan kepada ilmu pengetahuan berkenaan karier yang mereka minati atau bakal ceburi sebagai padanan dengan keperluan industri

“Saya selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) meminta pihak Kementerian Pendidikan Tinggi juga berbincang dengan SKMM bagi peningkatan akses internet di kampus-kampus IPTA.

“Dengan perkembangan teknologi permintaan terhadap pekerja yang berkemahiran teknikal semakin meningkat, maka pihak kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi program latihan seperti TVET dan latihan yang relevan dengan keperluan industri,” ujar beliau.

Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan dibentangkan di Parlimen pada esok oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.