Malaysia-Filipina Komited Terus Erat Kerjasama Perkukuh Perdagangan, Pelaburan Dua Hala – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati melakukan kunjungan kepada Naib Presiden Filipina, Sara Z. Duterte sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu.
Presiden UMNO itu memaklumkan pertemuan tersebut menyentuh pelbagai isu membabitkan hubungan erat di antara kedua-dua buah negara.
“Dalam pertemuan ini, kami membincangkan potensi besar untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Malaysia komited untuk terus melabur secara strategik di Filipina dengan harapan kerjasama ini akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hantaran di Facebook berkongsi pertemuan tersebut yang diadakan di pejabat Sara Z. Duterte di Robinsons Cybergate Plaza, Mandaluyong City.
Turut disentuh juga usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang telah lama terjalin melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina ke-60 yang akan datang.
Ahmad Zahid turut sama meluahkan keyakinan dengan hubungan di antara Malaysia-Filipina untuk terus berkembang sekaligus menjadi pemangkin kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti TVET, teknologi, industri halal global dan pembangunan kemahiran tenaga kerja.
“Selain itu, kami turut menyentuh beberapa isu serantau dan antarabangsa, termasuk usaha bersama memerangi penjualan dan pencegahan dadah. Kami juga sepakat untuk meneroka potensi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti industri.
“Kami turut berbincang mengenai kerjasama dalam bidang esports, tambahan pula dengan kehadiran dua pemain kelahiran Filipina dalam pasukan esports di Malaysia yang menjadi simbol persahabatan dan potensi anak muda kedua-dua negara,” ujar beliau. – UMNO Online