Bajet 2025: Tumpu Kepada Warga Bandar Dan Anak Muda Tingkatkan Ekonomi – Mohd Fitri

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd Fitri Che Ree berpandangan kerajaan perlu memberi tumpuan khas kepada kepentingan dan keperluan warga bandar serta golongan anak muda dalam usaha untuk memacu ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan yang mampan dan inklusif pada tahun 2025.

Menurut beliau ia sejajar dengan cabaran global dan perubahan dinamik teknologi, yang merupakan antara segmen penting dalama memangkin kepada transformasi ekonomi negara.

“Warga bandar dan anak muda menghadapi cabaran unik yang berkaitan dengan kos sara hidup, peluang pekerjaan, serta penguasaan teknologi baru.

“Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan dasar-dasar yang komprehensif bagi membantu golongan ini mengatasi cabaran ekonomi sambil memanfaatkan peluang yang timbul dari pertumbuhan sektor digital dan teknologi,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohd Fitri juga turut sama berharap kerajaan untuk menangani kos sara hidup yang tinggi di bandar di samping akses perumahan mampu milik melalui inisiatif perumahan mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Bagi menangani tekanan kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar, kerajaan perlu terus melaksanakan inisiatif perumahan mampu milik seperti PR1MA.

“Di samping itu, usaha untuk meningkatkan akses kepada pengangkutan awam yang lebih efisien dan mampu milik mampu terus memperhebatkan.

“Projek-projek infrastruktur seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka dapat memudahkan mobiliti penduduk bandar serta mengurangkan kos pengangkutan,” ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, penekanan terhadap kualiti hidup, kesihatan mental dan sosial rakyat khususnya anak muda juga perlu dijadikan tumpuan kerajaan memandangkan golongan ini merupakan aset kepada negara.

Menurut beliau ia boleh dilakukan dengan menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan.

“Kerajaan perlu menyedari tekanan yang dihadapi oleh anak muda di bandar dari segi kesihatan mental dan sosial.

“Oleh itu, perkhidmatan sokongan kesihatan mental perlu dipertingkatkan melalui pelbagai program kesedaran dan intervensi.

“Selain itu, pembangunan bandar hijau dan lestari dapat diperluaskan dengan pembinaan lebih banyak kawasan rekreasi serta pengurusan bandar pintar bagi meningkatkan kesejahteraan hidup warga bandar,” katanya lagi.

Selain itu, melalui bajet ini juga kerajaan perlu menyediakan platform terbaik bagi memberikan peluang untuk penglibatan anak muda dalam proses pembuat dasar.

“Memastikan golongan muda dilibatkan secara aktif dalam proses pembuat dasar negara. Pelbagai program pendidikan politik dan advokasi akan diperkenalkan bagi memupuk kesedaran sivik dan memberi peluang kepada anak muda untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.

Sementara itu katanya, peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk anak muda perlu dipertingkatkan memandangkan persaingan yang semakin sengit dalam pasaran pekerjaan dengan memperkenalkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi membantu anak muda bersaing dalam industri

“Selain itu, sokongan kepada ekonomi gig dan keusahawanan akan diperluaskan melalui insentif dan pembiayaan kepada perniagaan kecil dan startup. Kerajaan turut komited dalam menyediakan perlindungan sosial bagi pekerja gig melalui pelbagai dasar sokongan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.