Malaysia Kecam Serangan Israel Ke Atas Anggota UNIFIL – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya terhadap serangan Israel ke atas anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tegasnya, Israel perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh PBB dengan tidak mengheret UNIFIL ke dalam kancah konflik Israel-Hezbollah.

“Penglibatan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 adalah di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tugas dan tanggungjawab mereka adalah tertakluk kepada protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

“Israel mesti menghormati mandat tersebut dan tidak mengheret UNIFIL ke kancah konflik Israel–Hezbollah. Serangan ke atas anggota UNIFIL adalah serangan terhadap PBB dan masyarakat dunia.

“Ia adalah perbuatan yang melanggar segala norma undang-undang antarabangsa dan sangat tidak bertamadun,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Kementerian Luar Negeri akan berhubung dengan PBB bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman Malaysia dalam keadaan baik.

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mematuhi segala ketetapan dan keputusan yang diputuskan oleh UNIFIL dan PBB tentang peranan UNIFIL selanjutnya di Lubnan.

“MINDEF melalui Kementerian Luar Negeri akan berhubung dengan PBB melalui saluran yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan bertugas selari dengan mandat yang diperuntukkan.

“MINDEF akan terus memantau dengan dekat perkembangan terkini di Lubnan. Tindakan seterusnya akan diputuskan oleh Kerajaan setelah berbincang dengan UNIFIL dan PBB,” katanya.

Pada Jumaat media melaporkan UNIFIL mendakwa Israel melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lebanon, menyebabkan dua anggotanya cedera.

Israel mengakui tenteranya melepaskan tembakan di kawasan itu, atas alasan ada pejuang Hezbollah yang sedang berperang dengan Israel, beroperasi berhampiran pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Itali, penyumbang utama anggota pasukan itu, menyatakan bahawa tindakan tersebut ‘boleh dianggap sebagai jenayah perang’, manakala Washington menyatakan ‘kebimbangan yang mendalam’.

Tragedi itu berlaku selepas misi pengaman PBB minggu lalu menolak tuntutan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk ‘berpindah’ dari beberapa kedudukannya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.