Jentera UMNO Perlu Terus Diperkuat, Tekad Perbaiki Kelemahan – Mohd Noor

TASEK GELUGOR, 15 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad, menegaskan pentingnya memperkuat jentera penerangan parti di peringkat bahagian dan cawangan dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurut beliau, walaupun jentera UMNO telah bekerja keras selama bertahun-tahun, calon lawan yang tidak berasal dari kawasan itu telah berjaya menawan Parlimen Tasek Gelugor.

“Jentera penerangan UMNO telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa henti, berminggu-minggu, berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, tetapi pihak lawan hanya datang sekali dan berjaya menawan Parlimen Tasek Gelugor, walaupun bukan penduduk atau pengundi tempatan.

“Kadang-kadang calon lawan itu bukan orang tempatan, tapi baru datang dah berjaya menawan sokongan masyarakat.

“Semoga ia menjadi semangat dan dorongan untuk kita meneruskan perjuangan dalam PRU-16, terutama di Parlimen dan DUN Tasek Gelugor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Penerangan UMNO di Dewan UMNO Bahagian Tasek Gelugor, pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Omar Abdul Hamid’ kepimpinan bahagian dan seluruh jentera penerangan UMNO Tasek Gelugor.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan perlunya memperkukuh jentera parti di setiap peringkat untuk memastikan UMNO terus mantap.

“Jentera penerangan perlu melihat kaedah yang sesuai dan menyusun program serta strategi untuk mendekati akar umbi di setiap cawangan.

“Cawangan-cawangan UMNO di Tasek Gelugor perlu diperkasa dan diperkemas. Kita juga harus berusaha mencari ahli-ahli baharu untuk menyokong perjuangan parti,” tambah beliau.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Tasek Gelugor merupakan bahagian ke-29 diadakan Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ia diadakan dengan pelbagai pengisian dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.