Belanjawan 2025: Harap Kerajaan Beri Tumpuan Untuk Inisiatif Kepada Orang Muda
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Pemuda UMNO berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan memberikan beberapa tumpuan kepada golongan muda dalam usaha membantu golongan berkenaan bukan sahaja meningkatkan taraf ekonomi masing-masing malah membantu negara dari sudut yang pelbagai.
Timbalan Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanannya, Mohamad Arif Abdul Talib berkata pelbagai tumpuan yang akan diberikan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini sudah pasti akan memberikan limpahan yang pelbagai kepada golongan tersebut.
Justeru katanya Pemuda UMNO amat mengharapkan kerajaan merangka serta menyediakan pelbagai program serta lain-lain aspek yang boleh membantu golongan tersebut dalam meningkatkan keupayaan ekonomi masing-masig kelak.
“Pertamanya saya berharap agar kerajaan dapat perbanyakkan lagi geran-geran untuk orang muda yang baharu ataupun ingin mengembangkan peniagaan. Umumnya tahu untuk meneroka bidang tersebut memerlukan modal yang besar dan geran permulaan amat penting bagi memastikan penglibatan golongan tersebut.
“Keduanya saya juga berpandangan kerajaan menerusi agensi-agensi sedia ada khususnya yang menyediakan pinjaman untuk melonggarkan syarat-syarat agar golongan muda tidak terbeban apatah lagi bagi mereka yang mula berkecimpung dalam sektor perniagaan.
“Tambahan pula kita amat faham dan sedar apa yang menjadi masalah untuk orang muda hari ini ialah modal perniagaan walaupun mempunyai perniagaan yang mempunyai potensi tinggi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menambah segala impian dan segala harapan orang-orang muda bukan sahaja dapat dilihat menerusi pembentangan Bajet 2025 nanti malah dapat direalisasikan kelak.
“Insya-Allah… semoga segala impian menjadikan Pemuda UMNO Malaysia sebagai hub membantu anak muda ke arah kejayaan dapat direalisasikan dan diterjemahkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar turut memaklumkan Biro Ekonomi dan Keusahawanan Pemuda UMNO yang dipengerusikan Datuk Hasry Sham Chasmen akan terus memainkan peranan dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat khususnya golongan muda.
“Alhamdulillah… mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau baru-baru ini telah membincangkan beberapa perkara menarik dan antara lain perbincangan tentang hala tuju dan fokus Pemuda UNMO Malaysia dalam meningkatkan ekonomi Melayu khususnya orang-orang muda.
“Seterusnya memperkasa ekonomi orang muda antara lain memfokuskan di kawasan-kawasan yang mempunya produk-produk yang dihasilkan sendiri oleh anak tempatan supaya dapat dibawa ke pasaran luar. Insya-Allah kita akan terus gembleng tenaga bersama-sama bagi menjayakan hasrat berkenaan,” tambahnya.- UMNO Online