Belanjawan 2025 Diharap Beri Keutamaan Kepada Sektor Pendidikan – Musliati

KOTA KINABALU, 15 Okt – Kerajaan diharap terus memberikan keutamaan terhadap sektor pendidikan dengan menambah peruntukan untuk bidang itu dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini, bagi memastikan agenda pendidikan terus diperkasakan.

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, peruntukan itu penting antara lain bagi menjayakan hasrat untuk meningkatkan keupayaan belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), demi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Sebagaimana belanjawan lepas, kita harap kerajaan mempertimbangkan peruntukan yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan bagi meneruskan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah daif serta penambahan kelengkapan pembelajaran terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini dan ditanya mengenai harapan beliau terhadap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Musliati yang juga Pengerusi Penasihat Pusat GiatMara Kota Kinabalu berkata sektor pendidikan di era Industri 4.0 menuntut perubahan, seiring transformasi digital agar dapat terus kekal berdaya saing memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada dunia pekerjaan masa depan.

Terdahulu Musliati turut menyampaikan sumbangan pendidikan daripada Tabung Sekretariat Pendidikan UMNO Malaysia kepada anak-anak tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian ke unversiti.

Menurut beliau sumbangan tersebut menunjukan UMNO sedia mengepalai gerakan kesedaran pelajaran demi meningkatkan martabat pendidikan negara di samping merapatkan jurang pencapaian dalam kalangan pelajar bandar dan luar bandar.

Musliati berkata UMNO sentiasa komited terhadap kemajuan pendidikan dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab itu walaupun di negeri yang mempunyai pandangan politik berbeza.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli UMNO sentiasa memainkan peranan yang efektif untuk meningkatkan prestasi pelajar khususnya di luar bandar.

“Peranan untuk meningkatkan tahap pendidikan bukan sahaja terletak di bahu guru, kerajaan dan sekolah semata-mata, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul bersama semua pihak terutama ibu bapa.

“Sumbangan yang diberikan oleh Sekretariat Pendidikan UMNO Malaysia ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada pelajar yang terlibat bagi meningkatkan tahap pencapaian pelajar yang kurang berkemampuan dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dan keluarga mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.